GUA MUSANG - Seramai 70 pelajar Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Chiku menyertai program khidmat masyarakat bersama penduduk Felda Chiku 5, di sini.

Ketua pelajar, Mohammad Jamadil Akhiri Mohd Nawi berkata, program khidmat masyarakat itu dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chiku 5, di mana pelajar diberi tugas membersihkan kawasan berkenaan.

Menurutnya, program itu juga sebagai syarat mendapatkan markah kokurikulum, selain memberi nilai dan pengajaran kepada pelajar terlibat.

“Bukan sahaja demi markah semata-mata, ia memberi kesedaran kepada kita dalam sudut sahsiah dan mengingati kehidupan.

“Di samping itu, ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara kita dengan penduduk kampung,” katanya.

Selain guru pengiring dan penduduk kampung, program turut disertai Ketua Kampung, Mohammad Saud Salleh.

Program tersebut dijalankan Exco Kerohanian dan Kebajikan serta Pasukan Institusi Pertahanan Awam (Pispa).