Amalan solat sunat Dhuha setiap hari menjadi resepi kejayaan Aqilah Hadhirah Hazizi,18, apabila memperoleh keputusan 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.

Pelajar aliran sains tulen di Maahad Muhammadi Pasir Mas sanggup mengorbankan masa rehatnya untuk menunaikan solat sunat tersebut biarpun rakan-rakan yang lain sibuk menjamah makanan di kantin.

Aqilah berkata, solat sunat itu dilakukan dengan rela hati bagi mendekatkan dirinya dengan ALLAH.

“Bila buat solat sunat Dhuha saya rasa tenang dan sesi pembelajaran di dalam kelas menjadi mudah.

“Ini kerana Dhuha itu merupakan pembuka kepada rezeki jadi tidak salah saya mengamalkannya.

“Lagipun saya tidak menjangkakan memperoleh keputusan yang begitu cemerlang kerana semasa percubaan hanya memperoleh 7A sahaja dan tidak tergolong dalam kalangan pelajar bijak,” katanya.

Menurutnya yang merupakan anak ke dua daripada enam beradik dan berasal dari Kampung Kubang Bemban, dia juga mengamalkan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis.

Katanya yang bercita-cita ingin menjadi usahawan seperti Dato Seri Vida, setiap hari dia akan pastikan mengulang kaji semua subjek walaupun sekejap.

Aqilah berkata, dia juga mengamalkan belajar secara berkumpulan dengan rakan-rakan sekelas setiap hari Sabtu.

“Selain itu bantuan guru-guru dan doa daripada kedua ibu bapa juga antara kunci kejayaan yang saya peroleh ini,” katanya.

Aqilah muncul pelajar terbaik Maahad Muhammadi Pasir Mas apabila dia merupakan calon tunggal yang mendapat 12A.

Anak kepada pasangan Hazizi Abdullah, 49, bekerja sebagai penyelaras teknologi maklumat di Pejabat Dun Pengakalan Pasir dan Siti Ebidah Mohd Daud, 47, seorang suri rumah, teringin menyambung pengajian ke Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Aqilah memperoleh keputusan A+ dalam Bahasa Melayu, Sejarah, Pendidikan al-Quran dan Al-Sunnah, dan Bahasa Arab, A- bagi subjek Bahasa Inggeris, Matematik Tambahan, Kimia dan Biologi, A bagi Matematik, Fizik dan Tasawwur Islam.