KOTA BHARU - Dua termasuk seorang remaja tidak bersekolah ditahan bersama dadah jenis heroin seberat 40 gram di Kampung Padang Layang, Mulong, di sini  semalam.

Suspek berusia 16 bersama rakannya berusia 33 tahun ditahan dalam sekatan jalan raya dalam Ops Pencegahan Jenayah  Bersepadu di Jalan Kota Bharu-Nilam Puri di kampung itu jam 12.45 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, mereka ketika itu menaiki motosikal jenis Yamaha LC 135 dipercayai menunggang laju sehingga terbabas berhampiran sekatan jalan raya.

Menurutnya, apabila anggota menuju ke arah suspek, mereka secara tiba-tiba dikatakan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan.

“Pemeriksaan di lokasi menjumpai satu plastik cerah berisi bungkusan plastik biskut di atas tanah berhampiran raga motosikal.

“Dalam bungkusan itu mengandungi 10 botol berisi serbuk keputihan disyaki  dadah jenis heroin,” katanya.

Beliau berkata, mereka dibawa ke balai polis untuk  tindakan selanjutnya dan ujian saringan terhadap suspek berusia 33 tahun adalah positif dadah jenis morfin manakala remaja itu pula negatif.

“Kedua-dua direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Semakan rekod terhadap suspek juga mempunyai lampau kes dadah,” katanya.