BACHOK - Pengusaha tadika di negeri ini digesa menubuhkan alumni bagi memudahkan usaha menjejaki mereka apabila berjaya dewasa kelak.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Unit Pendidikan Swasta Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Che Malek Yaacob berkata, usaha itu penting kerana ia boleh menjadi kebanggaan kepada tadika berkenaan sebagai tapak asas pendidikan awal sekiranya kanak-kanak itu berjaya.

“Wujudkan alumni ini dari awal penubuhan tadika berkenaan kerana ia menjadi titik permulaan belajar seseorang anak.

“Tidak kira berapa tahun pusat pengajian awal ini bermula, yang penting kesan dari sekarang, simpan gambar-gambar semasa graduasi dan aktiviti serta rekodkan sebaiknya untuk memudahkan rujukan apabila anak ini menjadi pemimpin suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Graduasi Anak-anak Tadika Iltizam Genius, Mahligai yang diadakan di sebuah pusat peranginan di Telong, semalam.

Turut hadir, pengusaha tadika, Noraini Ismail, Yusrihamid Yusof dan pengelola, Ismail Mohamad dan Faridah Dollah.Majlis dimeriahkan dengan penampilan dan persembahan oleh badut yang menarik perhatian kanak-kanak yang hadir.

Che Malek berkata, pengusaha tadika juga dinasihatkan supaya membuat permohonan bagi mengadakan kursus kepada guru-guru yang mengendalikan anak-anak tadika.

“Untuk tahun berikutnya, guru yang mengajar di tadika perlu mempunyai Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

“Oleh itu, kursus ini boleh membantu tenaga pengajar dan pengurusan meningkatkan ilmu dalam membentuk potensi dan sahsiah, menjaga keselamatan anak-anak, juga penyediaan makanan,” katanya.

Sementara itu, Noraini berkata, sejak enam tahun Tadika Iltizam Genius ditubuhkan, pihaknya menyahut dasar kerajaan yang mahu anak-anak sebagai generasi masa hadapan membentuk sahsiah untuk menjadi pemimpin masa hadapan.