Tanjung Malim -  Bagi memberi semangat dan motivasi kepada pelajar yang terlibat dengan banjir, Team ResQ Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) melakukan Program Bantuan Misi Kemanusiaan Mangsa Banjir di Kelantan dan Terengganu.

Alumni Fasilitator Upsi, Omar Firdaus Mohd Said berkata, seramai 40 sukarelawan terbabit dan mereka terdiri daripada 30 pelajar Upsi dan tiga alumni fasilitator yang pakar dalam keselamatan serta seorang pensyarah.

Sukarelawan Upsi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir.

 

“Ini misi ke-10 kami dan kali ini dilakukan selama lima hari bermula 30 Disember lalu.

“Misi kali ini dilakukan untuk memulihkan semangat pelajar yang terjejas akibat banjir,” katanya.

Sukarelawan Upsi menaiki bot ke pusat pemindahan sementara untuk mengagihkan bantuan.

 

Kata beliau, kebanyakan pelajar terlibat banjir kelihatan kurang bersemangat kerana tidak dapat pergi ke sekolah.

“Dengan itu, sukarelawan Upsi berusaha memberi motivasi kepada pelajar supaya terus bersemangat untuk belajar,” katanya.

Pasukan ResQ Upsi bergambar sebelum memulakan misi bantuan.

 

Selain itu katanya, misi program tersebut turut memberi khidmat kepakaran menyelamat mangsa banjir.

“Tiga alumni fasilitator kami mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam menyelamat. Mereka yang pakar ini mempunyai sijil seperti sijil keselamatan kayak dan kelemasan,”katanya.

Pasukan ResQ Upsi membawa barangan makanan dengan bot untuk diedarkan kepada mangsa banjir.

 

Omar berkata, selain itu mereka juga memberi bantuan makanan dan pakaian kepada 20 keluarga mangsa banjir.

Katanya, program itu dapat memberikan kesan yang positif kepada sukarelawan kerana dapat merasai pengalaman membantu mangsa banjir.

Pasukan ResQ Upsi ketika Program Bantuan Misi Kemanusiaan Mangsa Banjir di Kelantan dan Terengganu.

Mengangkut barangan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Keadaan banjir di Kelantan