KOTA BHARU - Polis mendapati kejadian seorang pelajar yang diikat dengan akar pokok sehingga tular di laman sosial sejak semalam hanya lakonan semata-mata dan tiada unsur buli.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, Isnin lalu itu, pelajar Tingkatan Dua di sekolah di daerah ini membiarkan dirinya diikat sebelum cuba memutuskan sendiri ikatan itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata sebelum kejadian mangsa dan juga rakannya ponteng sekolah di kawasan belukar berhampiran pagar sekolah kira-kira jam 11.30 pagi.

“Mangsa kemudian dengan rela hati membiarkan dirinya diikat dengan akar pokok di sebatang pokok kecil kerana ingin menguji kekuatan memutuskan ikatan tersebut.

“Salah seorang pelajar dan seorang lagi bukan pelajar sekolah itu merakam video sebeum ditularkan rakan yang tidak lagi bersekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan kepada media semalam.

Menurutnya, sebaik mengetahui mengenai perkara itu, pihak sekolah terus mengenal pasti pelajar yang terbabit dan mendapatkan cerita sebenar.

“Pihak sekolah kemudian menghubungi Polis Perhubungan Sekolah untuk mengesahkan cerita sebenar dan mendapati tiada sebarang unsur buli.

“Pihak Lembaga Tatatertib sekolah sudah bermesyuarat untuk memutuskan tindakan selanjut,” katanya.

Sinar Harian melaporkan Jabatan Pendidikan Kelantan akan menjalankan siasatan susulan video yang tular di media sosil yang menunjukkan seorang remaja lelaki diikat dengan akar di sebatang pokok sambil dikelilingi oleh pelajar lelaki lain.

Kejadian dipercayai berlaku di negeri ini apabila salah seorang pelajar itu bercakap dengan menggunakan loghat Kelantan.