MUADZAM SHAH - Seramai 50 murid dari sembilan sekolah rendah di sekitar Muadzam Shah berjaya mengharungi cabaran menyusuri Sungai Aur, di sini.

Selepas dilatih oleh tenaga pengajar terlibat, setiap kayak masing-masing dinaiki dua peserta itu perlu berkayuh sejauh 8 kilometer (km) dari Jeti Kampung Aur hingga Kampung Gadak.

Difahamkan, Sungai Aur yang terletak di Bukit Ibam, di sini, pernah menjadi laluan utama penduduk sebelum ada landasan kereta api atau jalan raya di kawasan itu sekali gus disifatkan sebagai laluan lagenda oleh penduduk setempat.

Penyelaras program, Mohd Rozi Bahari, berkata, persiapan daripada pelbagai aspek terutama keselamatan dibuat sebaik mungkin agar program berjalan dengan lancar.

Menurutnya, bantuan daripada jurulatih Pusat Kokurikulum Pahang yang ada di sekitar daerah Rompin bagi melatih peserta banyak menyumbang bagi memastikan kelancaran program.

“Tujuan kita menganjurkan program ini selain mendedahkan peserta dengan sejarah sungai Aur, ia juga bagi membina keyakinan murid-murid yang mewakili sembilan buah sekolah ini.

“Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Ibam, SK Kampung Aur, SK Buluh Nipis, SK Muadzam Shah, SK Bukit Ridan, SK Perantau Damai, SK Kedaik, SK Bandar Tun Razak dan SK Simpai,” katanya.

Turut hadir merasmikan program Exco Belia dan Sukan Pahang, Datuk Mohd Johari Hussin bersama Adun Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahusin, baru-baru ini.

Mohd Rozi berkata, semua peserta mengambil masa kira-kira 2 jam sebelum berjaya sampai di Kampung Gadak yang menjadi lokasi majlis penutup program.

“Selaku wakil penganjur, saya ucapkan terima kasih kepada komuniti Kampung Aur dan Kampung Gadak yang memberi kerjasama baik dalam menjayakan program.

“Tahun depan insya-ALLAH kita akan cuba anjurkan lagi program ini bergantung pada maklum balas yang diterima,” katanya.