Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 2 membuktikan kehebatan mengalahkan SK Dewan Beta, 3-0, dalam perlawanan akhir bawah 12 tahun Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Kota Bharu Selatan, baru-baru ini.

Pada pertemuan berlangsung di Padang SK Perol, anak buah Md Asroal Zakaria menampilkan aksi bertenaga apabila mendahului 2-0 dalam babak pertama menerusi Muhammad Alif Adam Mohd Rosli (m-13) dan kapten, Aslan Rosli, tujuh minit kemudian.

Aslan sekali lagi mencetak gol kedua peribadi dalam separuh masa kedua untuk mengesahkan kemenangan bergaya pasukannya ke atas sekolah tersebut.

Lebih menarik, SK Kubang Kerian 2 turut meraih kejayaan berganda apabila pemain tengah berusia 12 tahun itu dinobatkan pemain terbaik perlawanan akhir.

Terdahulu, dalam pertemuan separuh akhir, SK Kubang Kerian 2 berjaya mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas SK Sri Melor manakala SK Dewan Beta menyingkirkan SK Salor menerusi sepakan penalti 6-5.

SK Seri Melor menduduki tempat ketiga setelah menewaskan SK Salor, 2-1, dalam penentuan itu.

Guru Besar SK Lundang, Rozlan Ismail menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Hadir sama, Penolong Kanan Kokurikulum SK Kubang Kerian 2, Noor Laily Harun dan Pengerusi Teknik Bola Sepak Kota Bharu, Harizan Hamid.

Noor Laily menyampaikan medal kepada pemain SK Dewan Bera yang muncul naib juara kejohanan.

 

Pemain SK Kubang Kerian 2 (biru) dan SK Dewan Beta (kuning) bersama pegawai pasukan dan tetamu sebelum memulakan perlawanan.