KUALA KAJANG - Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Islamiah (SMUTI) mempertahankan rekod pencapaian 100 peratus pelajar lulus dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Pengetuanya, Ahamad Yusof berkata, kejayaan itu berjaya dikekalkan dalam tempoh empat tahun berturut-turut selepas peperiksaan SPM diperkenalkan di sekolah itu.

“Alhamdulillah, dari segi Gred Purata Sekolah juga menunjukkan peningkatan apabila SMUTI berjaya memperoleh 4.44 berbanding 4.78 tahun sebelumnya.

“Dengan pencapaian ini, SMUTI muncul sekolah terbaik di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah,” katanya, semalam

Ahamad berkata, seramai dua calon memperoleh 6A dalam keputusan kali ini.

Katanya, pihaknya berterima kasih kepada guru-guru, calon dan ibu bapa di atas komitmen serta kerjasama yang diberikan hingga membolehkan SMUTI terus melakar kejayaan.

Sementara itu, pelajar cemerlang sekolah berkenaan, Muhammad Ariff Khalid, 18, berkata, segala penat lelah selama ini terubat apabila berjaya meraih 6A daripada sembilan mata pelajaran diambil.

“Belajar secara berkumpulan, fokus dan sentiasa dengar nasihat guru antara kunci utama kejayaan ini. Selain itu, jangan berhenti berdoa kerana ia senjata utama kepada kejayaan,” katanya yang berhasrat melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dalam pengajian Islam,.

Seorang lagi pelajar yang memperoleh 6A, Nur Adniey Md Rodi, 18, berkata, dia terharu melihat air mata gembira guru-guru di atas kejayaannya dan rakan-rakan.

“Saya mahu sambung di peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) supaya saya boleh lanjutkan pengajian di Timur Tengah suatu hari nanti,” katanya.