JELI - Seramai 28 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Bongor di sini menerima zakat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang disampaikan Pengarah SSM negeri, Ab Razak Isa.

Guru besarnya, Zawawi Yusoff berkata, kesemua penerima adalah terdiri daripada murid yang kurang berkemampuan dan memerlukan.

“Pihak sekolah berbesar hati menerima sumbangan zakat daripada SSM yang insya-ALLAH ia dapat membantu meringankan beban penerima.

“Sumbangan zakat ini sangat bermakna buat kami dalam usaha menaik taraf golongan memerlukan kepada golongan yang lebih terbela, dan dari kumpulan menerima (zakat) kepada pembayar (zakat)," katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Zakat SSM di sekolah berkenaan di sini.

Dalam pada itu, Zawawi berkata, program berkenaan juga bertujuan mengenal pasti potensi asnaf yang produktif agar dapat mengubah keadaan ke arah lebih baik.

“Usaha ini juga bagi memastikan golongan asnaf ini mendapat kebaikan dan manfaat demi kebaikan dunia dan akhirat," katanya.

Zawawi berkata, pihaknya juga berusaha untuk memastikan golongan penerima zakat ini dapat bekerjasama dalam pembangunan insan.