Ruangan Dari Media Cina di Sinar Harian yang dikendalikan Ong Boon Teck hari ini melaporkan  Kesatuan Kebangsaan Guru Besar mengalu-alukan keputusan Kementerian Pendidikan membenarkan murid dan pelajar bawa alat peranti ke sekolah mulai awal tahun depan.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Besar Malaysia, Wong Shee Fatt berkata, selaras perkembangan teknologi dalam bidang pendidikan, usaha kerajaan itu seharusnya dipuji agar murid dan pelajar dapat menuntut ilmu dengan lebih berjaya.

"Bagaimanapun, langkah tersebut perlu dijalankan dengan terancang bagi mengelakkan murid dan pelajar menyalahgunakan alat berkenaan.

"Sekiranya kerajaan tidak berhati-hati, ibu bapa pastinya bimbang apabila pelajaran anak-anak mereka terganggu akibat tidak menggunakan alat peranti dengan bijak," katanya kepada China Press.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengenai kerajaan sedang merangka peraturan dan pekeliling bagi menetapkan penggunaan serta jenis alat peranti yang dibenarkan dibawa ke sekolah.

Menurut Mahdzir, kementerian melihat penggunaan alat peranti di sekolah seiring gelombang teknologi dunia kerana kebanyakan negara maju membenarkan pelajar mereka membawa alatan itu ke sekolah.

Shee Fatt berkata, guru turut memainkan peranan penting membantu murid memanfaatkan alatan tersebut  ketika di dalam kelas.