Semua pihak perlu memberikan sokongan dan sama-sama memainkan peranan demi meningkatkan mutu pembelajaran dalam sistem pendidikan sekolah agama di negeri ini.

Guru Besar Sekolah Agama Tenggaroh 03, Shamsudin Mohtaram berkata, ibu bapa boleh membantu dengan menyalurkan sebarang cadangan penambahbaikan kepada pihak sekolah.

“Selain cadangan, boleh juga sampaikan apa kelemahan yang perlu ditambah baik. Ini penting supaya kami dapat melihat dari sudut pandangan berbeza dan menambah baik mana yang perlu,” katanya.

Beliau juga melihat hasrat kerajaan negeri yang mahu menggunakan kembali kitab-kitab lama mampu martabatkan lagi sistem pendidikan di Johor.

Selain itu, beliau turut meminta agar ibu bapa tidak melatah sekiranya anak-anak mereka dikenakan tindakan di sekolah sebaliknya mencontohi cara ibu bapa zaman dahulu.

“Zaman dulu, apabila kita hantar anak kita ke sekolah, ibu bapa serah kepada guru untuk dididik, jangan patah sudah.

“Tapi sekarang apabila anak buat silap di sekolah, kena marah atau dihukum, sekolah dipersalahkan sampai ambil tindakan mahkamah, lapor polis dan sebagainya," katanya.

Persekitaran Sekolah Agama Sawah Dato’ yang terdapat di Daerah Mersing.

Menurut beliau, jika ibu bapa kembali seperti dulu, memberi sepenuhnya kepercayaan kepada sekolah, insya-Allah kecemerlangan sekolah agama itu dapat diteruskan.

PARIDAH

Turut senada dengan beliau, Guru Besar Sekolah Agama Sawah Dato’, Paridah Muda yang menyifatkan ada ibu bapa yang bersikap ‘over protective’ terhadap anak-anak hinggakan proses didikan itu tidak sampai.

“Pendekatan saya dari dulu memang tegas kerana pada saya, itu tanggungjawab kita sebagai guru. Kalau kita biar anak murid ‘berjalan kepala ke bawah’, maknanya kita tidak tunai tanggungjawab kita sebagai pendidik.

“Bagi saya, biarlah anak murid benci saya tapi akhirnya mereka dapat dididik dan keluar menjadi manusia berguna,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta ibu bapa sama-sama memainkan peranan mendidik anak di rumah bukan hanya bergantung kepada guru sahaja.

“Kita didik di sekolah tapi penerapan sebenar didikan itu di rumah. Cuma penerapan itu tidak berlaku jadi apa yang kami didik di sekolah itu tidak dimanfaatkan.

“Saya mengharapkan ibu bapa sama-sama bantu kita dalam membina masa depan anak-anak kerana masa yang dihabiskan di rumah lebih banyak berbanding di sekolah,” katanya.

Sekolah agama boleh kembali gemilang

Mohd Sanip

Beban kerja yang berlebihan merupakan antara faktor tumpuan guru di sekolah agama (SA) terhadap pelajar teralih sekali gus dilihat ‘sukar’ melahirkan ramai generasi yang mempunyai ilmu agama yang berkualiti.

Pesara guru SA, Mohd Sanip Ehsan, 68, berkata, beliau dapati perbandingan era pembelajaran pada tahun 70an dengan zaman kini amat ketara.

Beliau yang dikenal dengan panggilan Imam Sanip di bandar ini berkata, lebih-lebih lagi pelajar pada masa kini dibebankan dengan taraf pendidikan yang tidak sesuai dengan usianya.

“Jika dahulu kita hanya fokus mengajar anak murid. Sekarang di SA pun guru-guru disibukkan dengan mesyuarat, ISO dan pelbagai lagi yang menyebabkan guru kurang fokus kepada pembelajaran dalam kelas.

“Guru SA seolah-olah sudah mengikut langkah guru sekolah kebangsaan atau sekolah menengah yang terlalu sibuk dengan tugas yang bukan hakiki iaitu mendidik. Tidak seperti zaman dahulu kita hanya fokus mengajar," katanya.

Kata beliau, dari segi modul pula sekarang kita dapat lihat jika dahulu darjah satu murid perlu bawa kitab hanya dua sahaja namun kitab itu padat dengan ilmu.

"Namun kini murid tahun satu kitabnya sahaja sudah tebal dan besar namun saya dapati pengisiannya kurang bersesuaian dengan usia mereka,” katanya.

Mohd Sanip berkata, kegemilangan sekolah agama hanya boleh dikembalikan melalui hasil kerjasama dan penambahbaikan dilakukan semua pihak termasuklah kerajaan sendiri, guru dan lebih penting ibu bapa.

Katanya, meletakkan undang-undang yang mewajibkan pelajar Islam untuk ke SA dilihat sebagai langkah yang dapat menaikkan martabat sekolah agama.

Ia berikutan kini tiadanya undang-undang yang menetapkan ibu bapa wajib hantar anak ke SA seperti sekolah biasa menyebabkan pelajar dan penjaga mengambil sambil lewa.

“Kita dapat lihat sekarang dengan keadaan persekitaran dan suasana zaman kini yang mana ibu bapanya terlalu sibuk mencari nafkah menyebabkan pendidikan SA anak-anak pada sebelah petang dipandang sambil lewa.

“Pada hal SA memberikan ilmu dunia akhirat. Anak-anak pula tanpa pemantauan lebih daripada ibu bapa bertindak mengambil kesempatan ponteng SA. Segalanya bermula dari rumah. Ibu bapa harus lebih tegas dalam bab pembelajaran SA,” katanya lagi.

Mohd Sanip menunjukkan gambar kenangan yang masih disimpan ketika mengajar SA sekitar tahun 70an.

Begitu juga dengan sijil darjah khas yang perlu ditinggikan lagi martabatnya agar sekolah agama turut dipandang tinggi dan tidak dipandang sambil lewa.

“Seperti contoh zaman dahulu dengan hanya sijil darjah khas kita boleh minta kerja di Brunei, Sabah dan Sarawak berbanding sekarang, sijil darjah khas diperlukan bagi sesetengah permohonan jawatan sahaja,” katanya.

Beliau juga berharap agar pendidikan SA akan terus ditambahbaik kerana sekiranya tiada penambahbaikan dikhuatiri generasi yang lahir pada masa akan datang akan menjadi lebih ‘lagha’ dengan kehidupan duniawi.