BAGI masyarakat dulu-dulu, pantun menjadi kewajipan sebagai pembuka bicara  apabila menjalankan sesuatu majlis atau persembahan termasuklah pada majlis peminangan, perkahwinan, ucapan terima kasih, penghargaan dan sebagainya.

Malah pantun dizahirkan menerusi tema tertentu seperti untuk menyampaikan kasih sayang, puji-pujian, agama, adat dan nasihat.

Bagaimanapun zaman berlalu menyebabkan segelintir masyarakat semakin melupakan warisan berharga ini.

Atas rasa tanggungjawab, Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil pendekatan menganjurkan Pesta Pantun Sekolah-Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Kebangsaan 2018 bermula 12 hingga 15 Mei lalu, di Politeknik Merlimau Melaka.

Program mendapat kelolaan Jabatan Pendidikan Melaka itu mendapat penyertaan seluruh negeri termasuklah Melaka, Perak, Selangor dan Kelantan.

Berkongsi mengenai penganjuran program ini, Penolong Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian KPM, Siti Khadijah Mion berkata, pesta pantun ini diharap melonjakkan kompetensi bahasa Melayu pada semua peringkat pendidikan.

Menurutnya, ia penting dalam memastikan penguasaan kemahiran lisan dalam kalangan murid dapat ditingkatkan.

“Pemartabatan bahasa Melayu dalam aktiviti seumpama ini menjadi satu inisiatif menyokong pendidikan Bahasa Melayu.

“Malah pesta pantun ini berperanan membantu pelbagai pihak menjamin penggunaan Bahasa Melayu Standard dalam usaha memelihara seni pantun dari semasa ke semasa,” katanya.

Jelas Siti Khadijah, lebih membanggakan apabila program mendapat penyertaan pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Ada di antara mereka tidak pernah mempunyai pengalaman berpantun. Tetapi rasa ingin tahu membuatkan mereka cuba memberikan terbaik sekali gus pengalaman baru dalam diri.

“Ini satu kejayaan kerana KPM dapat mengukuhkan bahasa Melayu dalam kalangan peserta dengan adanya aktiviti kokurikulum,” katanya.

Siti Khadijah berkata, usaha ini juga meningkatkan kerjasama pelbagai sektor penyelidikan, penterjemah, penerbitan, pengkaryaan bagi memartabatkan khazanah bahasa Melayu

“Menjadi matlamat kami untuk meningkatkan rasa cinta peserta terhadap seni ini yang mana dapat mengingati bakat mereka terhadap kesusasteraan Melayu agar terus diwarisi sepanjang zaman,” katanya.

Majlis perasmian penutup disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Roslan Ibrahim.

 

Hargai warisan berzaman

Memilih Melaka sebagai tuan rumah tahun ini adalah sangat bertepatan memandangkan negeri ini sangat sinonim dengan seni dan budaya berpantun.

Menurut Roslan, program seumpama ini perlu diadakan lebih kerap demi kesinambungan generasi masa hadapan.

“Penglibatan golongan muda juga menguatkan lagi peribahasa ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

“Pesta pantun ini  bukti masih ramai hargai tinggalan warisan dahulu walaupun dihidangkan pelbagai kecanggihan dan kemodenan,” katanya.

Jelasnya, sejajar dengan peranan bahasa Melayu, seni kesusasteraan Melayu seperti pantun seharusnya dijadikan wadah perpaduan rakyat.

“Bahasa Melayu perlu diperhalusi daripada aspek penggunaannya kepada pelbagai ragam cara supaya dijadikan medium penyatuan pelbagai kaum seawal usia muda,” katanya.

 

www.gpsbestari.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.