Putrajaya - Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan pembekuan semua pertukaran dalaman di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat pendidikan Daerah (PPD) termasuk perlantikan baharu seluruh negara berkuatkuasa serta-merta.

"Kenaikan pangkat juga akan dikaji semula kerana saya tidak mahu wujudnya percaturan berunsur politik kepartian di peringkat negeri dan daerah," katanya.

Kata beliau, pihak kementerian menerima banyak pandangan mengenai percaturan yang mempunyai unsur-unsur politik kepartian di peringkat negeri dan daerah melalui JPN dan PPD.

"Apa yang berlaku mengecewakan saya kerana kita tidak mahu politik pemikiran sempit mempengaruhi institusi pendidikan yang bakal membentuk masa depan anak-anak.

"Saya juga telah mengarahkan agar pegawai tertinggi kementerian untuk menyemak semula semua kenaikan pangkat dan pertukaran yang berlaku dalam jangka masa dua bulan lalu.

"Dengan tindakan ini saya harap rakyat mendapat mesej yang jelas bahawa kita tidak akan kompromi dengan sebarang anasir yang mahu membawa unsur tidak sihat dalam pentadbiran pendidikan negara," katanya.

Menurut beliau lagi, tindakan itu bagi memastikan usaha mereformasi sistem pentadbiran negara selaras dengan dasar kerajaan berjalan dengan lancar.

"Keputusan drastik ini kita ambil setelah kita dapati unsur sabotaj," katanya.