Idrisi Islamic International School (Idrissi) di bawah pegangan syarikat Lemon Tree Academy Sdn Bhd menjangka buka pendaftaran sekolah menengah antarabangsa dan pengambilannya pada September nanti.

Pengarahnya, Datin Paduka Zaliza Alias berkata, perancangan membuka sekolah menengah tersebut didorong oleh sambutan luar biasa terhadap Idrissi International Primary School pada awal tahun lalu.

“Walaupun Idrissi masih hijau, kami menerima 200 pelajar bermula usia 7 tahun hingga 12 tahun.

"Idrissi merupakan sekolah antarabangsa pertama di Malaysia dan dunia berkonsepkan Eco Islamik," katanya.

Kata beliau, pihaknya memulakan operasi sekolah menengah antarabangsa untuk tahun tujuh dan lapan terlebih dahulu.

"Pada peringkat awal, mungkin ia tidak ramai kerana masih baru,” katanya.

Zaliza optimis, sekolah menengah antarabangsa yang akan diperkenalkan mendapat sambutan berikutan ia berbeza dengan sekolah menengah antarabangsa sedia ada.

Katanya, Idrissi akan melaksanakan Program Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).

“Penawaran peperiksaan IGCSE dengan kerjasama Cambridge International Examination (CIE) itu membolehkan pelajar mengikuti pengajian luar negara lebih awal.

“Dengan adanya pelaksanaan program IGCSE membolehkan Idrissi menawarkan dua sijil peperiksaan kepada pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Idrissi menganjurkan pelbagai aktiviti untuk pelajar, guru dan ibu bapa.

“Antara program terbaru adalah Cabaran Qari Junior Sekolah Rendah Antarabangsa dan Islamic Books Day yang disertai Baseerah International School, Al Noor International
School, Tenby International School, Regent International School dan pelajar dari Home of Hope in Shah Alam.Program ini diadakan di Idrissi,” katanya.