KUALA PILAH - Sekolah Sukan Negeri Sembilan (SSNS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, melahirkan ramai pemain bola sepak berbakat sekali gus menidakkan negeri ini ketandusan pemain.

Pengetuanya, Roslin Balia berkata, ramai pemain bola sepak dilahirkan dari sekolah ini terpilih untuk bermain di Liga Malaysia sama ada mewakili pasukan negeri atau kelab.

"Seramai sembilan bekas pelajar SSNS SMK Za’ba telah ke Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), dan beberapa pemain dibeli pasukan bola sepak negeri seperti Terengganu, Selangor dan sebuah kelab iaitu Sime Darby.

"Ini membuktikan pemain dilahirkan dari sekolah ini berpotensi besar untuk diketengahkan. Ia memberi petunjuk bahawa lebih ramai lagi pemain berpeluang untuk menyarung jersi dalam Liga Malaysia," katanya.

Roslin berkata, dahulu SSNS SMK Za’ba kurang dikenali dan sering dilabelkan sebagai pasukan belasahan.

"Tetapi kini segalanya sudah berubah. Dari pasukan belasahan, sekarang adalah pasukan yang mula disegani setelah beberapa kali menjuarai pertandingan disertai.

"Kita pernah menjadi johan di Kejohanan Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bawah 14 tahun, dan johan Liga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) bawah 15 tahun.

"SSNS SMK Za’ba juga menjuarai piala Gothia empat tahun berturut-turut mulai 2012 hingga 2015, selain  mewakili pasukan Gothia Malaysia ke Sweden untuk bersaing dengan 160 pasukan hebat di seluruh dunia.

"Pencapaian terbaik dalam piala Gothia di Sweden adalah tahun lalu iaitu berjaya melangkah hingga ke pusingan kedua dan kita tersingkir dalam perlawanan kalah mati," katanya ketika ditemui pada perlawanan akhir piala Gothia di SSNS SMK Za’ba baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Sektor Pembangunan dan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Amir Shariffudin Ahmad.

Sementara itu, jelas Roslin, kini ibu bapa juga sudah mula memilih SSNS SMK Za’ba sebagai pilihan untuk menghantar anak-anak mereka.

"Buktinya, pada 2014, kita menerima seramai 108 calon untuk program pencarian bakat baharu manakala pada 2016, kita menerima seramai 480 orang.  Ini menunjukkan berlaku peningkatan drastik.

"Kepercayaan penjaga terhadap sekolah ini semakin bertambah. Kita hanya memilih 15 peserta terbaik sahaja untuk program ini memandangkan kita mempunyai asrama terhad," katanya.

Dengan tag line ‘Ijazah Digenggam, Piala Dijulang’, Roslin berharap dengan bantuan sahsiah diri yang baik, pelajar di SSNS SMK Za’ba akan berjaya dalam sukan dan juga akademik.