Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sudah pun melabuhkan tirainya bulan lalu.

Untuk itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai, Kemaman, Terengganu, telah mengambil inisiatif mengadakan lawatan sambil belajar untuk murid tahun enam, supaya mereka boleh menimba ilmu dan pengalaman di tempat orang.

Program lawatan yang dikenali Program Pasca UPSR 2017 itu memilih beberapa lokasi menarik sekitar Kuala Lumpur dan Selangor untuk dilawati.

Antaranya, Karangkraf, Muzium Coklat, i - City Shah Alam, Kidzania dan Cruise Tasik Putrajaya.

Azleeyanti

 

Guru pengiring, Azleeyanti Abd Ghani, 41, berkata, program berlangsung selama tiga hari dua malam dan ia membabitkan seramai 37 murid tahun 6 dan tahun 5 serta empat guru pengiring.

"Lawatan bertujuan meraikan anak-anak didik selepas mereka berhempas pulas menduduki peperiksaan UPSR.

"Dengan lawatan ini, sekurang-kurangnya mereka boleh memanfaatkan masa yang ada," katanya kepada GPSBestari.

Cikgu Azleeyanti berkata, Karangkraf adalah destinasi yang paling dinanti-nantikan oleh murid-murid sekolah itu.

"Sebelum ini kami hanya kenal nama sahaja. Tak pernah pun berpeluang datang ke Karangkraf​

"Kali ini, rasa seronok sangat sebab dapat lihat dengan mata sendiri bagaimana proses penerbitan sesebuah buku dan majalah dilakukan. Insya Allah, jika diberi peluang, kami akan datang lagi ke sini dengan barisan murid-murid dari tahun yang berbeza," ujarnya.

Editor GPSBestari.com, Wan Normi Hasan bersama guru pengiring yang turut hadir.

Penolong Editor GPSBestari, Noor Fazidah Umar (kiri) menerangkan tentang pengisian sisipan GPSBestari kepada rombongan.