TAPAH – Mahu anaknya fasih dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Tamil, seorang bapa menghantar anak ketiga daripada empat beradik bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tapah, di sini.

Shahrizal Razali, 40, berkata, keputusannya untuk menyekolahkan anaknya, Azmil Hafiz Shahrizal, 5, di SJKT Tapah turut dipersetujui isterinya.

Katanya, dia mahu anaknya mampu bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Tamil demi masa depannya.

"Ini kerana, kita melihat orang yang mampu bertutur dalam pelbagai bahasa mempunyai kelebihan dari pelbagai sudut termasuk mampu bertutur dengan kaum India itu sendiri dengan baik.

"Saya dan isteri adalah sebagai orang yang bertanggung jawab untuk mencorakkan masa depannya dan keputusan yang saya ambil ini adalah untuk demi kebaikan anak saya," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, setiap sekolah di Tapah mempunyai kelebihan masing-masing  dan dia mahu anaknya mampu berbahasa selain daripada bahasa Malaysia menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menyekolahkan anaknya di SJKT Tapah.

Kata Shahrizal, selain anaknya boleh belajar bahasa Tamil, sekolah itu juga mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris antara sebab dia memilih sekolah itu untuk anaknya.

"Ramai yang tidak tahu sekolah itu adalah sekolah terpilih mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di daerah ini di mana anak saya akan datang mampu menguasai bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil sekali gus.

"Setakat ini, saya selalu berkomunikasi dalam bahasa Tamil yang saya tahu dengan Azmil, selain kawan-kawannya dari kaum India di tempat kami tinggal banyak membantunya bertutur dalam bahasa itu," katanya.