KULAI – “Saya terkejut apabila mendapat panggilan dari pihak sekolah menyatakan saya tidak boleh ke sekolah kerana tidak mempunyai kad pengenalan,” ujar B Vikneswaran, 15.

Pelajar tingkatan 2 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelapa Sawit, di sini, mengakui begitu kecewa tidak dapat meneruskan sesi persekolahan sesi 2017 seperti rakan-rakan lain pada 1 Januari lepas.

“Segala persiapan persekolahan telah disediakan dan saya juga tidak sabar belajar serta bertemu rakan-rakan di sekolah.

“Tetapi kini, saya semakin bimbang memikirkan masa depan saya. Kalau boleh saya mahu belajar bersungguh-sungguh dan bercita menjadi mekanik motosikal yang berjaya,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik.

Dia yang ditemaninya ibunya, RC Jayandi, 63, berkata demikian ketika menceritakan masalahnya kepada Adun Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tze di pejabatnya di Taman Tropika, di sini, baru-baru ini.

Menceritakan latar belakang keluarganya, Jayandi memberitahu, dia dilahirkan di negeri ini tetapi tidak mempunyai dokumen pendaftaran diri termasuk surat beranak serta kad pengenalan disebabkan oleh masalah keluarga yang dialami sejak kecil.

“Akibatnya ketika berkahwin dengan bapa Vikneswaran, D Bhmaya, 47, kami tidak dapat mendaftarkan perkahwinan walaupun suami saya mempunyai kad pengenalan.

“Masalah ini menyebabkan empat anak hasil perkongsian kami selama 23 tahun turut tidak boleh membuat permohonan kad pengenalan kerana perkahwinan yang tidak didaftarkan, kerakyatan akan mengikut ibunya iaitu saya,” katanya.

Suri rumah itu berkata, ketiadaan dokumen pendaftaran diri telah memberi kesan kepada kehidupan kesemua anak-anaknya sehingga mereka sukar melakukan sebarang urusan termasuk mencari pekerjaan dan sebagainya.

“Anak sulung saya, Teven, 22, hanya bekerja sebagai buruh yang membuat jalan, sementara yang kedua, Goyindama, 20, masih gagal mencari pekerjaan dan ketiga, Revadly, 17, telah berhenti sekolah pada tahun lalu akibat tidak tahan diejek tidak mempunyai kad pengenalan.

“Kalau boleh, saya mahu anak bongsu saya dapat bersekolah dan berjaya. Saya khuatir sekiranya dia tidak bersekolah, dia akan terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat hingga merosakkan masa depan,” katanya.

Menurutnya, dia beberapa kali membuat permohonan kad pengenalan untuk anak-anaknya dengan Jabatan Pendaftaran Negara namun ditolak.

“Saya bukanlah orang senang. Suami saya kerja tidak menentu dan tidak ambil kisah sangat hal ini. Saya tidak fikir tentang diri saya tetapi yang saya fikir adalah soal anak-anak saya. Kalau selepas ini mereka mahu berkahwin tentu sukar,” katanya.

Sementara itu, Jimmy berkata, dia ada bertemu dengan pihak sekolah berkenaan untuk bertanya hal tersebut, namun mereka hanya patuh arahan yang dikeluarkan.

“Saya turut berusaha mendapatkan penjelasan perkara ini dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPN) dan mereka memaklumkan beberapa proses perlu dilakukan termasuk sesi temu ramah perlu dibuat oleh keluarga tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif telah dimaklumkan tentang perkara itu dan pihaknya bersama sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru berkenaan akan menjalankan siasatan lanjut.

www.gpsbestari.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.