Memulakan kerjaya sebagai seorang badut bukanlah suatu yang mudah terutama membentuk aspek keyakinan dan pertunjukan lawak yang boleh mencuit hati orang ramai.

Namun itu bukanlah halangan besar bagi seorang anak Felda, Mohd Assanizam Abdul Asik, 26, yang berasal dari Felda Selendang 1, di sini, yang memilih kerjaya itu selepas tempoh kontraknya berkhidmat sebagai penjawat awam tamat hujung tahun lalu.

Pada mulanya beliau memilih untuk berniaga pakaian namun tertarik dengan isteri kepada seorang rakannya yang bekerja sebagai badut di Kuala Lumpur.

“Saya belajar bagaimana untuk menjadi badut ini dengan isteri kawan saya yang dikenali sebagai Kak Watt De Clown, dia biasa membuat persembahan di beberapa lokasi di KL.

“Dua hari saya ikut dia, kemudian terus saya ambil permit seniman jalanan dengan DBKL, lepas tu saya terus ikut Kak Watt sambil belajar dengannya,” katanya yang gembira dengan kerjaya diceburinya itu.

Keyakinan untuk berhadapan dengan penonton tidak datang sendiri dalam dirinya, sebaliknya beliau yang dikenali dengan gelaran Mat Jeng Jeng De Clown itu memilih untuk berjalan di sekitar bandar Kuala Lumpur dengan berpakaian badut sebagai satu latihan.

Apabila sudah biasa dengan keadaan berpakaian begitu, beliau tidak lagi gemuruh dan yakin untuk menyertai Kak Watt yang dianggap sebagai gurunya.

Selama tiga bulan bersama Kak Watt, beliau pernah terlibat dalam dalam program besar seperti program amal, majlis sambutan hari jadi di Rumah Rohingya, rumah anak-anak yatim dan sebagainya di sekitar Kuala Lumpur.

“Kita tak tahu sama ada orang itu sedang sedih atau gembira, apabila melihat orang gembira dengan persembahan yang saya buat, ia satu kepuasan,” katanya.

 

Badut dengan permainan silap mata memang tidak dapat dipisahkan dan itulah yang menjadi antara persembahan yang ditawarkan.

Murid SK (LKTP) Selendang 4 beratur untuk mendapatkan belon daripada Mat Jeng Jeng yang terdiri daripada pelbagai bentuk mengikut permintaan mereka.
 

Kembangkan lagi kemahiran

Ketika pulang ke kampung untuk melakukan persembahan di Karnival Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Daerah Rompin, beliau tidak sangka itu permulaan melebarkan perkhidmatan di daerah itu.

Selepas melihat sambutan yang baik daripada penduduk terutama kanak-kanak, Mohd Assanizam nekad untuk terus kekal di kampung namun tidak menolak sebarang tawaran persembahan di tempat lain.

“Permintaan persembahan badut di sini okay, mungkin sebab tiada pesaing, tapi itu tak bermakna saya hanya kerja di sini, jika ada tawaran dari mana-mana lokasi saya akan terima selagi bayaran yang diberi berbaloi.

“Baru ini saya buat persembahan di JB, kadang saya pergi KL untuk jadi pengganti kawan di sana buat persembahan jika terlalu banyak tempahan masuk,” katanya.

Mengakui pelanggan hanya dari kalangan orang biasa, kebanyakan tempahan diperoleh melalui akaun Facebook miliknya dan mereka akan hubungi melalui nombor telefon yang dipaparkan.

Bayaran yang dikenakan bermula RM180 hingga RM500 mengikut pakej untuk tempoh persembahan selama 2 jam adalah berpatutan.

“Setakat ini pendapatan hasil daripada pekerjaan sebagai badut ini memang berbaloi, paling kurang jika tiada tempahan saya akan pergi jual belon di lokasi tertentu, asalkan rezeki yang saya dapat halal, hasil kerja sendiri bukan makan gaji.

“Saya juga masih dalam proses mengembangkan lagi kemahiran agar pelbagai jenis persembahan lain seperti street fire boleh ditawarkan kepada pelanggan,” katanya.


 

Bangga usaha bekas anak murid

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Pentadbiran SK LKTP Selendang 4, Abd Manaf Mohd Ali, tidak sangka badut yang dijemput membuat persembahan pada Sambutan Hari Kantin sekolah itu merupakan bekas anak muridnya ketika mengajar di SK Selendang 1.

“Memang tak sangka Mat Jeng Jeng De Clown ini bekas anak murid saya, mungkin sebab dah dewasa dan mukanya disolek, jadi saya tak kenal, tapi dia tetap ingat saya.

“Dah tentu saya rasa bangga ada anak murid yang memilih kerjaya yang istimewa ini, mungkin nampak biasa atau tiada masa depan tetapi saya yakin dengan kesungguhan yang ditunjukkannya dia tentu akan berjaya,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Assanizam atau dikenali sebagai Mat Jeng Jeng De Clown memilih untuk menjadi badut selepas tamat kontrak berkhidmat sebagai penjawat awam hujung tahun lalu.

Mat Jeng Jeng sedang membuat persembahan di hadapan murid-murid, guru-guru dan ibu bapa yang turut hadir pada Sambutan Hari Kantin SK (LKTP) Selendang 4 2017.