ASAHAN - Program Jalinan Mesra Pasukan Pandu Puteri Tunas Sekolah Kebangsaan (SK) Chenderah bersama Pandu Puteri Tunas Singapura adalah inisiatif terbaik menjalinkan kerjasama antarabangsa bersama sekolah di luar negara.

Penyelaras Kebitaraan Pandu Puteri Tunas, SK Chenderah, Patimahtun Zaharah Abdul Jalil berkata, pelbagai aktiviti disusun bagi memberikan pengalaman menarik kepada mereka sepanjang berada di sini.

Menurutnya, program berlangsung selama sehari itu juga bertujuan bertukar pandangan dan pengalaman antara ahli Pandu Puteri terlibat.

“Kita harap peserta terlibat dapat manfaat daripada program dianjurkan, khususnya dalam kalangan ahli Pandu Puteri itu sendiri.

“Menerusi aktiviti disusun, ahli bukan saja dapat berkenalan dengan rakan baru, bahkan bantu mereka lebih matang dan memperoleh ilmu yang berguna,” katanya.

Jelas Patimahtun, pihaknya juga sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak untuk bekerjasama menganjurkan program Pandu Puteri dengan sekolah berkenaan.

“Ini adalah untuk kepentingan ahli, memandangkan mereka sentiasa mencari kelainan dalam setiap aktiviti diadakan.

“Jadi penglibatan bersama ahli lain boleh bantu mereka lebih bersedia berhadapan orang ramai dan cabaran mendatang,” katanya.

Lawatan tersebut disertai pemimpin Pandu Puteri Singapura, Wasylah Saud Marie.

Ia melibatkan 20 Pandu Puteri Tunas dari Singapura.

Sementara itu, Wasylah berkata, pihaknya sangat teruja dapat mengikuti program tersebut di SK Chenderah.

“Ia adalah pengalaman yang baik dan baharu kepada peserta,” katanya.