ALOR SETAR - Majlis Pemimpin Pelajar (MPP) disaran menerapkan Asmaul Husna iaitu 99 sifat terpuji ALLAH SWT dalam menjalankan tugas agar sentiasa diberikan petunjuk dan perlindungan selain tenang melaksanakan amanah.

Pesanan itu dikongsi oleh Pengetua Sekolah Menengah Teknik Alor Setar (SMTAS), Noresah Mohd Shariff ketika majlis penyerahan watikah pelantikan MPP dan sesi dialog bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Yazri Ismail.

“Saya juga ingin ingatkan agar pelihara solat, sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT agar urusan dipermudahkan. Ketika memikul amanah, ahli MPP juga diharap tidak abaikan kecemerlangan akademik,” katanya.

Menurutnya, pemilihan MPP dilakukan secara rapi dan pelajar terpilih memiliki ciri-ciri kepimpinan membimbing rakan sekolah selain membantu guru melaksanakan tugasan dan tanggungjawab.

“Hanya dengan pendidikan berkualiti dapat melahirkan warga yang efisien dan menjadi modal insan produktif. Saya harap MPP sentiasa mengingati ALLAH SWT ketika menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, MPP ibarat ‘pemimpin kecil’ menjalankan tanggungjawab membantu guru dan pentadbir sekolah agar dapat wujudkan persekitaran sekolah yang harmoni dan teratur.

Katanya, semua MPP diharap dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas.

“MPP jadi contoh kepada pelajar lain. Sebagai khalifah kecil, MPP perlu miliki sifat terpuji, berketerampilan kemas dan bijak mengurus masa untuk diri sendiri dan tanggungjawab diberi,” ujarnya.

Menurutnya, pelajaran juga harus jadi keutamaan kerana ia jaminan kehidupan masa depan.

“Pengetahuan membolehkan kita mendekati ALLAH SWT, mengubah taraf hidup keluarga, memenuhi cita-cita, selain dapat bezakan antara baik dan buruk, jadi belajarlah bersungguh-sungguh dan berdisiplin,” ujarnya.

Katanya, pelantikan MPP relevan dalam proses pembentukan sosialisasi masyarakat bermula seawal usia remaja.

“Ia dapat meningkatkan kesedaran terhadap jenis perlakuan salah laku yang berubah mengikut persekitaran sosial sekolah. Komunikasi berterusan MPP dan sekolah penting dalam melahirkan remaja berdisiplin, miliki jati diri dan patriotik,” katanya.

Menurutnya, ini membolehkan MPP memberi kesedaran awal kepada pelajar berkaitan langkah pencegahan yang boleh diimplementasikan bagi mengekang kes salah laku disiplin.

“MPP berperanan sebagai mata dan telinga sekolah. Walaupun kuasa MPP terhad kepada pelaporan kegiatan salah laku, namun memberi impak dalam memupuk sikap tanggung jawab pelajar dari aspek pencegahan awal,” katanya.

Menurutnya, untuk berdepan ancaman itu, sekolah sentiasa memantau dan menjalankan risikan agar tidak menular dalam kalangan pelajar.

"Saya harap dengan adanya kerjasama polis, sekolah dapat pastikan risiko salah laku pelajar menurun selaras dengan konsep sekolah selamat,” katanya.