SETAR - Sesi pengajian Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pinang, di sini semalam terjejas selepas sekolah itu dilanda banjir buat kali ke lima tahun ini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bukit Pinang, Amry Abd Latib berkata, sejak tiga minggu ini sudah dua kali sekolah itu dilanda banjir hingga menjejaskan pengajian anak mereka.

Menurutnya, ibu bapa di sekolah itu akan merasa cemas setiap kali hujan lebat lebih sejam kerana sudah pasti air akan memenuhi seluruh kawasan sekolah.

“Masalah banjir bermula sejak empat tahun lalu akibat sistem perparitan yang tak sempurna serta pembinaan beberapa kediaman baru di sekitar sekolah ini.

Difahamkan perparitan di sekitar kawasan ini sudah tidak mampu menampung aliran air hingga melimpah ke luar.

“Setiap kali banjir sudah pasti beberapa peralatan sekolah akan rosak dan keesokannya pula warga sekolah terpaksa bersihkan sekolah.

Keadaan bertambah serius lagi jika banjir berlaku pada waktu malam kerana guru-guru tak dapat selamatkan peralatan yang penting,” katanya.

Amry berkata, setiap kali hujan lebih sejam, pelajar sekolah serta guru terpaksa bersiap sedia menghadapi banjir dengan mengangkat buku-buku naik ke tingkat atas.

Bagaimanapun persoalannya, sampai bila keadaan seperti itu akan dihadapi murid sekolah itu.

"Masalah ini sudah pun mendapat perhatian beberapa pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan juga sudah melakukan tinjauan di sekitar kawasan ini tetapi sehingga kini belum ada sebarang tindakan diambil," katanya.

"Banjir ini sebabkan seluruh warga sekolah jadi kecoh sebab budak-budak yang belajar di tingkat bawah berpindah ke tingkat atas," katanya.

Tambahnya, waris berharap supaya Kementerian Pendidikan dapat mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah sekolah itu.

Waris, Ismail Awang, 47, berkata, ramai ibu bapa kecewa kerana sekolah itu sering dilanda banjir dan bencana berkenaan sudah pun berlarutan sehingga kini.

Katanya, hujan lebat semalam menyebabkan air melimpah masuk ke sekolah dan ini pasti membimbangkan waris sekolah itu.

"Sesi persekolahan hari ini (semalam) terpaksa dihentikan dan murid diarah pulang pada jam 9 pagi tadi (semalam) sebab takut air akan naik lagi.