CHANGLUN - Rata-rata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara yang memulakan sesi persekolahan tahun ini terkejut dan teruja melihat meja dan kerusi kelas mereka dicat baharu dengan warna yang menarik.

Guru Besar SK Dato’ Wan Kemara, Mohd Nizam Saidin berkata, mereka sangat teruja melihat kelas yang sangat ceria  dan tidak sabar untuk memulakan sesi pembelajaran.

Menurut beliau, kerja mengecat dilakukan sepanjang cuti persekolahan lalu.

“Kami pilih warna pink, biru, turqoise dan pelbagai warna mengikut pilihan guru kelas masing-masing.

“Tujuan kami buat ni.. untuk beri semangat baru kepada murid dan menceriakan kelas.. bila kelas dan cantik dengan lansir baru, pasti murid akan suka datang ke sekolah,” katanya.

Kata beliau, idea itu datangnya daripada pentadbir dan guru SK Dato’ Wan Kemara.

“Pihak sekolah memperuntukkan RM1,200 untuk projek keceriaan ini dan kami ambil masa tiga minggu sebelum sekolah dibuka,” katanya.

Menurut Mohd Nizam, sebelum ini sekolah memilih untuk menggunakan tikar getah yang bernilai RM200 untuk satu kelas tetapi hanya bertahan empat bulan sahaja.

“Tahun lepas kami guna tikar getah untuk alas meja murid, tak tahan lama.. kali ni, kami cat pula kerana kosnya lebih murah dan tahan lama,” katanya.

Beliau berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) banyak beri sokongan membantu guru menyiapkan kerja mengecat selain sumbangan kewangan.

“Saya harap dengan suasana pembelajaran yang kondusif ini dapat membantu meningkatkan prestasi pembelajaran murid SK Wan Dato’ Kemara,”katanya.

Cikgu Nurul Huda memantau murid 1 Genius dalam suasana kelas yang baru.

 Murid yang bersemangat belajar dalam suasana baru yang ceria.

Guru muzik, Zulkifli Ismail dan Guru Pendidikan Islam, Nurul Huda Hussin memantau murid kelas 1 Genius dalam sesi pembelajaran dan pemudahcaraan (pdpc).

Meja sekolah yang dicat dengan warna merah jambu membuatkan murid teruja dan tak sabar untuk belajar.

Antara ahli PIBG yang datang membantu mengecat meja kelas 1 Genius ketika musim cuti persekolahan yang lalu..