Hasrat seorang murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Meru, Klang yang juga menghidap kanser tahap empat bertemu dengan idola akhirnya menjadi kenyataan.

Muhammad Ariffudin Mohd Nor Hafis, 9, ternyata sangat gembira dapat bertemu pemain Perak, Hafiz Kamal sebelum matanya menjadi buta.

"Sangat gembira". Itulah sahaja yang mampu diucapkan bapanya,  Mohd Nor Hafis Abd Aziz, 33, selepas Hafiz Kamal memenuhi impian anaknya yang menderita kanser untuk menemui idolanya.

Muhammad Ariffudin yang bakal buta dalam masa terdekat bertemu Hafiz di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, jam 12 tengah hari semalam.

Ahli keluarga Muhammad Ariffudin turut tidak melepaskan peluang untuk bertemu dengan pemain yang diminati mereka.

Dalam pertemuan itu Hafiz Kamal meluangkan masa hampir sejam dengan Muhammad Ariffudin.

Mohd Nor Hafiz berkata, beliau terharu impian anaknya untuk berjumpa dengan Hafiz dapat ditunaikan.

"Gembira, terharu, sebak semua ada. Saya sangat bersyukur kerana Hafiz sudi untuk berjumpa dengan anak saya dan menggembirakan dia sebelum matanya buta.

"Walaupun dalam keadaan lemah kerana menjalani rawatan radioterapi, namun Muhammad Ariffudin kelihatan bersemangat sebaik bersalaman dengan Hafiz Kamal," katanya.

Muhammad Ariffudin dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Februari lalu berikutan keadaan sel kanser yang semakin merebak dan biji mata kiri yang tersembul akibat kanser sarcoma.

Hafiz Kamal mencium peminat ciliknya yang menderita kanser.

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mennghadiahi bola kepada  adik Muhammad Ariffudin.

Hafiz Kamal menyampaikan jersi Perak yang tertera nama Muhammad Ariffudin dan nombor jersi sama yang dipakai beliau.

Wakil pemain Perak menyampaikan sumbangan kepada bapa Muhammad Ariffudin.

Sementara itu, Hafiz Kamal teruja dapat menunaikan hasrat peminat ciliknya untuk bertemu dengannya.

Menurutnya, sebaik mengetahui hasrat Muhammad Ariffudin, beliau terus merancang untuk melawatnya selepas tamat perlawanan menentang Kelantan, semalam.

“Alhamdulillah hari ini (semalam) saya sempat melawat dia. Walaupun dengan jadual padat tapi saya tetap meluangkan masa kerana saya takut jika terus tangguh, hasrat itu gagal ditunaikan.

"Jadi, selepas berbincang akhirnya saya dapat jumpa dia. Saya harap pertemuan ini dapat memberi sedikit kegembiraan untukknya.

"Saya juga mendoakan kesihatan Muhammad Ariffudin kembali normal dan seterusnya pulih daripada penyakit dialaminya,” katanya

Katanya, beliau kagum semangat Muhammad Ariffudin melawan penyakit dihidapinya walaupun doktor memberitahu penyakitnya itu tidak dapat dirawat.

Mehmet memberikan kata-kata semangat kepadaAdik Muhammad Amiruddin.

Hafiz Kamal bersama Mohd Nor.

Penaja utama pasukan Perak, Pengarah Urusan al-Ikhsan Anwar Mamtaj turut memberi sumbangan kepada adik Muhammad Amiruddin.