Kegilaan terhadap bahan pornografi menerusi alam maya mencatatkan rekod yang sangat tinggi.

Industri pornografi hari ini bagaikan sebuah kilang yang sentiasa memenuhi permintaan yang amat tinggi.

Pengasas Modul Goodbye Pornography, Mohd Fadhli Othman berkata, kemudahan WiFi pada telefon pintar, lambakan video lucah serta bahan bacaan seperti novel dan cerpen lucah yang mudah dimuat turun di internet juga antara faktor pendorong ketagihan porno berlaku.

Justeru, katanya, isu masalah seksual seperti pornografi ini perlu dibendung segera. Beberapa langkah harus diambil, sama ada ibu bapa, guru dan komuniti.

“Selain membekalkan anak-anak dengan asas agama yang kukuh, ibu bapa juga perlu mengajar mereka tentang pendidikan seks sejak dari rumah. Tujuan utama adalah untuk menyedarkan mereka mengenai implikasi tonton video lucah serta mampu berkata ‘TIDAK’ kepada seks sebelum berkahwin.

“Di peringkat sekolah juga saya sarankan agar pihak sekolah termasuk PIBG berganding bahu menjalankan program ilmu atau seminar Latihan Dalam perkhidmatan (LDP) bagi menyebarkan mesej kesedaran dan pencerahan.

"Selain itu menyebar luaskan pengetahuan mengenai akta yang berkaitan seperti akta jenayah seksual dan akta kanak-kanak sedikit sebanyak memberikan pendedahan kepada guru agar dapat bertindak segera sekiranya terdapat aduan daripada murid terutamanya," katanya.

Beliau yang merupakan Guru SK Jubli Intan, Renggam, Kluang, Johor, berkata tidak dinafikan tegur menegur adalah kunci kepada penyelesaian.

"Saya sarankan agensi di bawah badan kerajaan dan swasta kerap melakukan program mendidik komuniti agar masalah ini dapat dibendung segera,” katanya panjang lebar.

Ulas Fadhli lagi, pornografi ini tidak seperti dadah sekiranya seseorang itu ketagihan dadah, tanda-tandanya memang boleh dilihat tetapi tidak pada mereka yang ketagihan pornografi.

Penagih Porno terdiri daripada pelbagai latar belakang, sama ada seorang guru agama, hinggalah golongan berpelajaran dan orang biasa.

“Pada peringkat awal, seseorang itu menonton secara tidak sengaja kemudian cuba-cuba, terasa normal dan mula ketagih. Pada tahap ini, perbuatan itu sudah tidak lagi dirasakan satu kesalahan dan dosa.

“Lebih membimbangkan apabila rangsangan ini mula memberi tindak balas luar kawal terhadap orang sekeliling,” katanya yang kini aktif menjalankan kempen Modul Goodbye Pornography, di sekolah seluruh negara," katanya.

Tambah Fadhli, ketagihan itu boleh dirawat, sekiranya seseorang itu mula mengalami fasa penyesalan.

“Pada peringkat ini, perasaan malu perlu dikorbankan. Dapatkan nasihat daripada mereka yang berautoriti seperti kaunselor dan pakar psikologi. Usah dengar kata-kata hinaan orang sekeliling, sebaliknya bertaubat dan berusaha sebaik mungkin untuk keluar dari kepompong ketagihan tidak bermoral itu,” katanya.