SEREMBAN - Siapa sangka rindu selepas 18 tahun terpisah akhirnya terubat melalui pelaksanaan Program Apresiasi Amal Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohamad Said (SHAMS), Seremban.

Seramai 19 bekas pelajar sekolah dari batch 04/05 itu tidak lepaskan peluang menyertainya, selain kehadiran guru-guru sekolah.

Pengerusi program, Mohamad Ikhwan Ismail berkata, program itu merupakan pertama kali yang dianjurkan pihaknya oleh bekas pelajar tingkatan enam sekolah tersebut.

"Syukur semuanya berjalan lancar, malah banyak yang kita bincangkan dalam usaha mengekalkan kejayaan akademik sekolah ini.

"Dalam pada itu, banyak perubahan berlaku sepanjang 18 tahun ini. Kebanyakan bekas pelajar sekolah ini sudah pun berjaya dengan kerjaya masing masing," katanya.

Katanya, rindu terhadap guru sekolah itu terubat walaupun pertemuan agak singkat.

"Namun ia sudah cukup untuk mengubat kerinduan. Memori ketika zaman sekolah tidak mungkin dilupakan, malah imbauan lalu bagaikan tak sempat diceritakan semula," katanya.