NILAI - Seramai 458 calon dari 54 sekolah di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Pkharuddin Ghazali berkata, jumlah itu melibatkan pelajar mendapat gred A+, A dan A- dalam semua subjek diduduki.

“Seramai 14 calon dari sembilan sekolah kerajaan berjaya meraih keputusan cemerlang dengan memperoleh pangkat A+ dalam semua subjek diambil mengikut penggredan baru.

“Bagi GPN (Gred Purata Negeri), didapati ada peningkatan sebanyak 0.08 mata antara 2016 dan 2017. Kali ini, GPN dicatatkan 4.71 berbanding 4.79 pada tahun sebelumnya,” katanya.

Menurutnya, pencapaian calon di bandar dan luar bandar ikut nilai GPN turut meningkat berbanding 2016.

“Peningkatan di bandar 0.11 mata iaitu 4.65 berbanding 4.76, manakala luar bandar sebanyak 0.03 mata iaitu 4.81 berbanding 4.84,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) di Sekolah Menengah Agama (SMA) Nilai di sini.

Turut hadir, Exco Pendidikan dan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli.

Pkharuddin berkata, pihaknya mempunyai alasan tersendiri apabila memilih SMA Nilai sebagai lokasi pengumuman SPM 2017.

“Faktor pertama, lonjakan saujana besar daripada 2.93 kepada 2.28 iaitu 0.65 mata. Seterusnya, sekolah ini menduduki tangga kelapan dalam Negeri Sembilan,” katanya.

Untuk rekod, seramai 15,829 calon daripada 115 sekolah menduduki peperiksaan SPM 2017 di negeri ini yang dijalankan pada 6 November hingga 4 Disember 2017.