BANDAR SERI JEMPOL - Umno Jelebu dan Pusat Khidmat Dun Sungai Lui di sini, terus membantu golongan kurang berkemampuan termasuk dalam menyediakan pakaian dan peralatan sekolah walaupun sesi persekolahan sudah lama bermula.

Adun Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali berkata, tiga murid sekolah rendah dan dua sekolah menengah yang tidak mendaftar ketika awal sesi persekolahan disebabkan keluarga tidak mampu membeli uniform sekolah turut dibantu.

“Selain itu, kita turut membiayai yuran asrama dua beradik masing-masing di tahun enam dan tingkatan satu di sekolah dalam daerah ini.

“Seramai 12 pelajar kita bawa membeli kelengkapan persekolahan di sebuah pusat pakaian di Bandar Seri Jempol.

“Umno Jelebu bersama Pusat Khidmat Masyarakat memperuntukkan kos RM2,700 bagi membeli keperluan persekolahan termasuk alat tulis,” katanya.