PORT DICKSON - Seorang anggota tentera berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson di sini, semalam atas pertuduhan membunuh anak kandungnya, Nur Aina
Nabihah Mohammad, 9, pada 31 Januari lalu.

Mohammad Abdullah Mohamed, 35, didakwa melakukan perbuatan itu di rumah yang disewanya di Jalan Vista Jaya 5, Taman Vista Jaya, Lukut, sekitar jam 8.30 malam hingga 11.30 malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, A Ashwini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 15 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, isteri tertuduh berusia 34 tahun yang juga ibu tiri mangsa dibebaskan dengan jaminan mahkamah mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah, untuk dijadikan saksi pendakwaan kes berkenaan.

Nur Aina Nabihah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah malam, pada 1 Februari lalu dipercayai akibat didera.

Kanak-kanak itu ditemui tidak sedarkan diri di rumah mereka oleh bapanya sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Bedah siasat ke atas kanak-kanak terbabit mendapati dia mengalami kecederaan parah, hati koyak, putus pankreas, patah tulang rusuk kiri dan kanan serta terdapat kontusi atau lebam dalaman pada usus besarnya.