PORT DICKSON - “Lepas ni kalau hujan kami dah tak perlu lagi tadah air yang menitis masuk rumah sebab atap bocor dah dibaiki,” kata Yati Jamaludin, 45.

Dia antara 44 penerima bantuan program Touch Point Pelaksanaan Cabinet Away 2017 Politeknik Port Dickson (PPD).

Yati berkata, antara kerja pembaikan yang dilakukan membabitkan pembinaan struktur dinding bahagian depan dan dapur daripada kayu kepada batu, selain menggantikan bumbung bocor, membina bilik air baharu dan pendawaian elektrik yang sempurna.

“Atap zink rumah dah lama bocor selain dinding kayu juga reput dan berlubang sana-sini. Nak baiki sendiri saya tak mampu dengan pendapatan yang cukup-cukup makan. Saya hanya kerja sebagai tukang cuci sekolah, anak juga tak mampu bantu kerana kesempitan hidup.

“Dengan bantuan ini, kami sekeluarga sangat lega dan bersyukur kerana dah tak lagi hadapi masalah atap bocor. Malahan kami rasa lebih selamat,” katanya.

Ujar Yati, dia kini tinggal bersama tujuh ahli keluarga lain iaitu suami, tiga anak, ibu yang uzur serta kakak dan abangnya yang juga orang kurang upaya.

Menurutnya, keadaan rumahnya juga kini jauh lebih selesa kerana mempunyai bilik air.

“Terima kasih kepada semua pihak yang bantu kami sekeluarga,” katanya yang tinggal di Kampung Sungai Raya. 

Majlis disempurnakan Adun Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza yang turut dihadiri, Pegawai Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (ICU) negeri, Datuk Ali Luman dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PPD yang juga penyelia projek, Mohd Zaki Mustapha.

Sementara itu, Mohd Zaki berkata sebanyak 44 rumah golongan miskin dalam kawasan Parlimen Telok Kemang terbabit dalam program berkenaan, dan kediaman Yati adalah yang terakhir disiapkan selepas kerja membaik pulih itu dimulakan pada 22 November lalu.

“Projek ini bermula awal Jun tahun lalu membabitkan keseluruhan 44 rumah. Ia dibahagikan kepada dua fasa dengan kos baik pulih bagi sebuah rumah antara RM5,000 hingga RM10,000 bergantung kepada jenis kerosakan.

“Secara keseluruhan projek ini dikendalikan PPD membabitkan peruntukan sebanyak RM195,000. Kerja pembaikan membabitkan pendawaian elektrik, penggantian bumbung dan kerja menyimen serta sumbangan keperluan harian,” katanya.

Mohd Zaki berkata, secara keseluruhannya seramai 130 pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Awam dan Kejuruteraan Elektrik PPD terbabit dalam pelaksanaannya.

Menurutnya, secara tidak langsung mereka dapat didedahkan dengan kerja membaik pulih pendawaian usang, pemasangan lampu, soket dan kipas serta membaik pulih lantai simen dan bumbung rumah penduduk kampung yang rosak.