SEREMBAN - Kementerian Pendidikan tidak hanya memandang serius masalah buli berbentuk fizikal, malah turut membabitkan yang berlaku dalam alam siber.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Chong Sin Woon berkata, buli siber juga perlu diberi perhatian sewajarnya berikutan boleh mengakibatkan depresi dalam kalangan pelajar.

“Kita sedang mengkaji semula perkara ini. Komen berbentuk serangan dan berbaur ugutan di Facebook misalnya, itu juga boleh dikategorikan sebagai buli,” katanya.

Justeru, beliau akan mengumpul laporan dan cadangan terkini daripada pelbagai pihak bagi menangani masalah buli secara fizikal dan siber.

“Langkah ini bakal dilaksanakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Disiplin yang dijadualkan pada 21 Jun ini.

“Kita akan jemput wakil daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia), AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) bersama pegawai tinggi kementerian untuk membincangkan isu berkenaan.

“Setakat ini, banyak inisiatif kita lakukan antaranya seperti peti aduan, program rakan sebaya, kaunselor dan pelbagai lagi,” katanya.