Seramai 14 murid daripada 20 calon Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2017 Sekolah Agama Rakyat (SAR) Melang berjaya mencatat keputusan cemerlang 8A, sekali gus meraih tempat kedua cemerlang UPKK di daerah ini.

Guru Besarnya, Norafidah Zainal berkata, pencapaian pada tahun ini adalah kejayaan paling cemerlang dalam tempoh empat tahun.

“Murid-murid begitu cemerlang dalam peperiksaan UPKK merangkumi ujian dalam lapan mata pelajaran iaitu Amali Solat, Penghayatan Cara Hidup Islam, al-Quran, Ulum Syariah (akidah/ibadah), Sirah, Adab (akhlak islamiah), Jawi dan Khat serta Lughah al-Quran.

“Mereka juga dinilai tahap pengetahuan dan kefahaman dalam ilmu fardu ain dan pengetahuan Islam serta kemahiran membaca dan menulis jawi," katanya.

Murid-murid UPKK SAR Melang cemerlang sekali gus sekolah itu mendapat tempat kedua peringkat daerah.

Beliau berkata demikian di Majlis Anugerah Kecemerlangan UPKK 2017 anjuran SAR Melang di Kompleks Rakan Muda.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Adun Senaling, Datuk Ismail Lasim.

Lebih istimewa pada tahun ini, katanya, salah seorang calon UPKK adalah murid pendidikan khas, adik Muhammad Haiqal Aiman Shahruddin, 12 tahun.

“Murid ini adalah murid pendidikan khas dari Sekolah Kebangsaan Tunku Munawir. Adik Muhammad Haiqal mengalami penyakit autisme, disleksia dan hyper aktif.

“Meskipun begitu, adik ini berjaya mendapat 6A 2B dalam UPKK dan pastinya ia keputusan amat membanggakan sekali gus menjadikan SAR Melang meraih tempat kedua dalam daerah ini bagi keputusan UPKK 2017,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pelaksanaan peperiksaan UPKK diadakan kepada murid tahun lima Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) untuk menilai tahap kemahiran dan kebolehan murid dalam bidang bacaan, selain hafazan al-Quran, tahap pengetahuan dan kefahaman pelajar dalam bidang amali solat serta penghayatan cara hidup Islam.

Jelas Norafidah, mereka berhasrat akan terus mencatat kejayaan amat membanggakan pada UPKK tahun ini.

“Tahun ini jumlah murid seramai 14 orang bagi tahun lima dan Insya-ALLAH dengan usaha yang gigih serta kesungguhan murid-murid, guru, ibu bapa dan Badan Kebajikan Kanak-kanak (Baka), kita berharap keputusannya cemerlang.

“Terima kasih juga kepada pengerusi Baka iaitu Iswardy Ismail, banyak memberi kerjasama kepada sekolah ini,” katanya.