PORT DICKSON - Akibat kesempitan hidup keluarganya, dua daripada tiga beradik di sini, masing-masing berusia 7 dan 9 tahun masih belum ke sekolah seperti rakan sebayanya yang lain.

Bapa kanak-kanak itu, Akif Hatimi Abdul Halim, 30, berkata, masalah kewangan dan urusan perpindahan anaknya dari sekolah lama ke sekolah baharu selepas berpindah rumah beberapa kali menyukarkannya untuk mendaftarkan mereka ke sekolah.

Menambah kesukaran itu, dia juga merupakan orang kurang upaya (OKU) yang menyara keluarga dengan mengambil upah mereka grafik gegantung dan kain rentang.

Anak sulungnya, Mohd Alif Izhan, 9, berkata, dia tidak sabar untuk ke sekolah semula.

“Kat rumah memang mak ayah ajar membaca, tapi saya nak ke sekolah, nak belajar lebih banyak perkara lagi,” katanya.

Sementara itu, Penggerak 3rd Force Cawangan Port Dickson, Syed Shukri Nizam Jaafar berkata, pihaknya akan membantu keluarga terbabit untuk menyelesaikan isu pindah sekolah dengan Pejabat Pendidikan daerah.

“Kita akan uruskannya dalam minggu ini juga dan berharap, dua beradik ini dapat memulakan persekolahan mereka secepat mungkin.

“Dalam masa sama, 3rd Force juga melalui dana sumbangan orang ramai akan membantu membeli dan menyediakan pakaian serta keperluan lengkap persekolahan mereka,” katanya.

Tambahnya, 3rd Force juga akan membantu Akif Hatimi untuk mendapatkan pekerjaan kerana dia ada kemahiran, cuma pergerakannya sedikit terbatas.

“Sementara isterinya pula akan dirujuk ke hospital untuk rawatan susulan.

“3rd Force juga sudah dihubungi ramai individu yang mahu memberi bantuan kepada keluarga ini dari segi kewangan dan keperluan harian,” katanya.

Sinar Harian pada 7 Januari lalu melaporkan Akif Hatimi cacat kaki kanan selepas terlibat kemalangan jalan raya 10 tahun lalu, sementara isterinya pula menghidap penyakit keradangan kulit kronik, psoriasis sejak lima tahun lalu.

Akif Hatimi juga perlu menyara ibunya serta adik yang mengalami sindrom down.