REMBAU – Seorang pemandu treler maut manakala kelindannya parah, selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan dengan lori membawa muatan kayu getah, di Kilometer 231.6, Lebuhraya Utara Selatan (arah utara), pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Abdul Rahim Mohd Baron, 48, parah di kepala ditemui di luar treler disahkan maut oleh pasukan paramedik.

Sementara, kelindannya, Mohamad Rizal Shahari, 37, yang tersepit dikeluarkan oleh pasukan bomba serta dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban bagi menerima rawatan.

Menurut anak sulung mangsa, Muhammad Azim Abdul Rahim, 22, kali terakhir dia bertemu ayahnya adalah sebelum ayahnya keluar bekerja pada jam 12 tengah malam.

Ujarnya, ayahnya sempat memberikan duit buat kegunaan rumah serta belanja untuk tiga adiknya yang masih bersekolah.

“Memang tiap-tiap minggu ayah akan bagi duit kepada saya untuk diagihkan buat belanja rumah serta tiga adik. Biasanya ayah beri waktu pagi, tapi kali ini sebelum pergi kerja ayah dah serahkan pada saya.

“Saya pun tahu ayah terbabit dalam kemalangan sebaik terima panggilan sekitar 6.30 pagi dan segera ke Hospital Tampin,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Tampin, di sini, semalam.

Azim berkata, ayahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan namun menurut ibu tirinya, Hamidah Moksin, 48, arwah ayahnya beberapa bulan lalu pernah meluahkan hasrat serta keinginan untuk menunaikan haji.

“Ayah kata pada mak nanti dia (ayah) nak tunai haji guna duit KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). Jika diikutkan ayah dah lama kerja sebagai pemandu lori muatan kotak dengan syarikat yang sama... seusia dengan saya tempohnya," katanya.

Sementara itu, pemandu lori muatan kayu getah, Zainudin Alawi, 32, pula mengalami cedera di tangan.

Menurut adik iparnya, Mohamad Hasan Basrie, 21, berkata, semasa dia tiba di lokasi bahagian hadapan treler berkenaan masih lagi melekat di belakang lori.

Menurutnya, dia segera ke tempat kejadian dari Tampin sebaik menerima panggilan daripada abang iparnya, Zainudin sejurus kejadian berlaku.

“Masa sampai tu hari masih gelap. Kami hanya nampak satu mangsa saja tersepit di tempat duduk hadapan. Rupa-rupanya ada seorang mangsa lagi berada di luar treler ditemui pekerja Plus.

“Mangsa yang tersepit masih kelihatan sedar, namun yang ditemui di luar treler sudah tidak sedarkan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata, kemalangan membabitkan sebuah treler dan juga lori membawa muatan kayu getah.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, treler yang berada di laluan kiri dipercayai mengekori rapat dan hilang kawalan lalu merempuh belakang lori muatan getah di hadapannya.

“Pemandu lori maut di lokasi kejadian susulan cedera parah di kepala. Kelindannya pula cedera parah di muka dan kini berada di zon kecemasan HTJ Seremban.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.