KOTA BHARU – Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Kelantan berpeluang melunaskan ‘dendam lama’ apabila bertemu MSS Terengganu pada perlawanan akhir bawah 18 tahun Kejohanan Bola Sepak MSS Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.

Aksi pentas akhir itu mengulangi sejarah pertemuan kedua-dua pasukan pada tahun 2012 apabila ketika itu, MSS Kelantan tewas tipis 0-1 kepada MSS Terengganu, sekali gus terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara.

Ketua Jurulatih, Rizalman Hassan berkata, perlawanan akhir itu menjadi medan terbaik buat skuad kendaliannya untuk menebus kekecewaan lima tahun lalu kepada jiran tetangga itu.

"Memang sasaran Kelantan tahun ini mahu menjadi johan dan kami hanya tinggal selangkah lagi dengan Terengganu kini menjadi penghalang kepada usaha tersebut.

"Sebagai jurulatih, sudah pasti saya mahu pasukan yang dibentuk pada tahun ini tebus kegagalan (tewas perlawanan akhir tahun 2012) itu dan berharap malam esok (ini) misi itu menjadi kenyataan," katanya, semalam.

MSS Kelantan mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan MSS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2-1 pada aksi separuh akhir di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1, pagi semalam.

Terdahulu, MSS Kelantan merupakan naib juara kumpulan D di belakang MSS Melaka menyingkirkan Pulau Pinang menerusi sepakan penalti 4-2, pada suku akhir.

Mengulas lanjut, jurulatih itu berkata, kemenangan ke atas MSS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hasil kesungguhan serta komitmen tinggi dipamerkan anak buahnya, sepanjang perlawanan itu.

Dalam pada itu, Rizalman memberitahu, pasukannya kali ini diperkuatkan gabungan 10 pemain daripada Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Pahang, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera dan lapan pemain daripada pusat latihan daerah.

"Strategi kita beraksi mengikut acuan corak permainan NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara) dengan merancang serangan dari bawah. Ini bererti semua bahagian bekerja keras sepanjang 90 minit," katanya.