MERSING - Juara Qari Junior 2017, Haikal Firdaus Mohd Jaafarudin, 12, pernah menangis akibat terlalu tertekan dan bimbang tidak dapat melakukan yang terbaik di pentas akhir.

Neneknya, Asmah Jusoh, 59, berkata, Haikal tidak dapat menahan perasaannya lebih-lebih lagi dia tidak mempunyai masa untuk membuat persiapan.

“Malam sebelum pentas akhir itu dia menangis, saya tanya kenapa Abang Long? Dia kata, susah Tok Umi.

“Saya pesan pada dia, tak apalah. Jangan menangis, tawakal pada ALLAH. Baca macam hafazan pun tak apa. Serah pada ALLAH,” katanya ketika ditemui di Kampung Belukar Juling, Endau, kelmarin.

Bagaimanapun Asmah mengakui ketika di peringkat separuh akhir, pernah terdetik di hatinya untuk membiarkan cucunya itu menarik diri.

“Masa separuh akhir kami hampir nak tarik diri sebab terlalu kasihankan dia. Haikal pun bukan budak yang lasak.

“Tapi dalam program ini memang menguji fizikal dan mental dia. Keluar awal pagi, balik lewat malam kemudian sambung terus dengan pertandingan, memang penat kita tengok,” katanya.

Haikal mahu belanja datuk dan neneknya ke tanah suci dengan wang kemenangan yang diperolehnya.

Asmah yang bertanggungjawab mengasuh Haikal sejak kecil menganggap kemenangan tersebut sebagai rezeki buat cucunya.

“Kalau nak bandingkan asas taranum yang peserta lain pelajari jauh beza sebab Haikal belajar di rumah saja. Memang berat untuk Haikal sebab dia lebih kepada hafazan tapi tema Qari Junior bukan hafazan.

“Apa yang Haikal buat di pentas akhir itu, dia baca secara spontan. Masa dengar itu saya memang menangis sebab tak sangka dalam dia tak yakin itu dia rangkum empat lagu terus,” katanya.

Menurut Asmah, Haikal sendiri yang menyuarakan hasrat untuk menyertai Qari Junior 2017 selepas melihat iklan uji bakat yang disiarkan.

Haikal menerima kunjungan Ketua Wanita Umno Bahagian Mersing, Alwiyah Talib (kiri) di rumah datuk dan neneknya di Kampung Belukar Juling, kelmarin.

Difahamkan Haikal terpaksa menarik diri daripada mewakili negeri dalam Perujian Menghafaz Al-Quran kategori 1-10 juzuk di Melaka berikutan pertindihan jadual program Qari Junior.

Di sebalik kesibukan bersekolah pagi dan petang, ramai pihak kagum dengan komitmen yang ditunjukkan Haikal sehingga mampu meletakkan dirinya setanding pelajar tahfiz.

“Mungkin Haikal nampak istimewa kerana dia mampu menghafaz al-Quran dari rumah bukan di madrasah. Bukan mudah sebenarnya.

“Anak-anak yang berada di maahad tahfiz sangat beruntung kerana Haikal bergelut dengan sekolah kebangsaan, sekolah agama, kerja sekolah dan peperiksaan.

“Ramai orang tanya bagaimana Haikal ada masa untuk menghafaz sedangkan banyak kerja sekolah, saya kata ada. Masa anak-anak kita bermain, tengok TV itulah masa yang Haikal gunakan. Dia tak tengok TV, tak main permainan di komputer mahupun telefon bimbit,” katanya.

Sebelum ini GPSBestari pernah menyiarkan kisah Haikal yang khatam al-Quran dalam tempoh dua bulan ketika berusia 4 tahun dan berjaya menghafal 30 juzuk ketika berusia 8 tahun.

Kisah itu mendapat tempat kelima utama sehingga sekarang sejak di muat naik di portal itu bulan lepas.

Murid SK Telok Lipat juara Qari Junior

Siapa sangka, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Lipat, Haikal Firdaus Mohd Jaafarudin, 12, dinobatkan sebagai juara Qari Junior 2017, selepas menewaskan empat peserta lain di peringkat akhir, kelmarin.

Kejayaan itu ternyata mengejutkan Haikal memandangkan dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang.

Tambahan kata Haikal, taranum bukan ‘makanannya’ kerana dia lebih menguasai bidang hafazan.

Haikal bersama peserta peringkat akhir Qari Junior 2017

“Peserta lain mereka memang lebih hebat (taranum). Saya jangka mungkin dapat nombor tiga sebab masa tu fikir taranum yang saya persembahkan tak secekap mereka.

“Tapi bila saya dapat nombor satu, memang gembira sangatlah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.

Faizal Tahir tampil memeriahkan program sebagai penyanyi jemputan.                  

Ketika ujian akhir itu Haikal yang merupakan johan Perujian Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Johor 2015 dan 2015 kategori Juzuk 1-10, mempersembahkan bacaan mengikut hafalan sendiri yang dilihat sebagai satu kelebihan hingga melayakkan dia bergelar juara.

Haikal yang telah menghafaz al-Quran pada usia 8 tahun akui menyertai program Qari Junior hanya sekadar untuk mencuba.

“Awalnya memang untuk mencuba saja. Kalau tersingkir pun tak apa sebab saingan semua hebat-hebat.

“Tapi bila diumumkan sebagai pemenang pertama saya memang bersyukur sangat,” katanya tersipu malu.

Qari Junior merupakan sebuah program realiti sebuah stesen televisyen di mana pesertanya terdiri daripada kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun yang menonjolkan kemahiran dalam mengalunkan ayat suci al-Quran.

Setiap peserta dinilai dan diadili oleh juri tetap, Ustaz Tarmizi Ali dan juri jemputan meliputi tajwid, taranum, kefahaman tajwid dan persembahan.

Program Qari Junior menampilkan 10 peserta yang kemudiannya disingkirkan setiap minggu sebelum memilih seorang pemenang.

Setiap minggu peserta diadili juri tetap, Ustaz Tarmizi Ali dan juri jemputan