KUANTAN - Seramai 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Methodist gembira menerima angpau dalam majlis Angpau Kasih sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Pengetua SMK (P) Methodist, Haniza Hashim berkata, angpau diberi sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang pihak sekolah terhadap pelajar yang menyambut Tahun Baru Cina.

“Majlis ini merupakan program tahunan sekolah dan sudah lama dijalankan dan pihak sekolah berkongsi kegembiraan dengan memberi angpau serta limau kepada pelajar.

“Secara tidak langsung kami mendidik pelajar untuk memahami dan menerima kepelbagaian budaya selaras dengan aspirasi dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025,” katanya.

 

Guru perempuan yang sedondon berpakaian merah pada majlis Angpau Kasih.

Tambah Haniza, program itu wajar diteruskan dan dicontohi sekolah lain kerana mampu  memupuk perpaduan dalam kalangan modal insan yang bakal menjadi peneraju negara pada masa hadapan.

Sementara itu, Guru Pusat Sumber, Zaihasra Abdullah berkata, pihak sekolah juga mengadakan kuiz anjuran pusat sumber sekolah dengan soalan berkaitan perayaan Tahun Baru Cina.

“Pelajar perlu baca maklumat di sudut informasi terlebih dahulu sebelum kuiz bermula,” katanya.

“Mereka yang berjaya menjawab soalan akan menerima hadiah seperti pen dan buku,” katanya.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Ahli Lembaga Pengelola dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan memakai pakaian berwarna merah.

 

Pelajar Cina menerima angpau dan limau sempena majlis Angpau Kasih.

 

Sebahagian Ahli Lembaga Pengelola dan PIBG yang menghadiri majlis Angpau Kasih.

 

Haniza (dua, kanan) menyampaikan hadiah kepada pelajar yang berjaya menjawab kuiz.

 

Sudut informasi yang menempatkan maklumat berkenaan Tahun Baru Cina.