KUANTAN - Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Talam yang dilahirkan pada Januari hingga Mac gembira dan terharu apabila mereka menerima sebiji cup cake dari pihak sekolah.

Hadiah kecil istimewa itu bertujuan memeriahkan sambutan hari lahir mereka.

Sambutan tersebut disertai seramai 350 murid darjah satu hingga darjah enam yang diraikan dengan dalam satu majlis khas untuk mereka.

Guru Besarnya, Normah Seliman berkata, sumbangan cup cake itu daripada tabung penyayang sekolah dan kelab guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit.

“Program ini setiap tahun dianjurkan pihak sekolah bagi menceriakan mereka. Ini salah satu kaedah untuk kita mendekatkan diri dengan mereka. Tambahan pula di sekolah guru merupakan ayah dan ibu kepada murid," katanya.

Beliau yakin pendekatan itu juga mampu mengeratkan hubungan ibu bapa, murid dan guru sekali gus memudahkan kerjasama dalam proses pengajaran.

“Saya percaya penganjuran itu dapat memberi kenangan indah kepada semua murid yang diraikan. Program sebegini juga membudayakan sikap penyayang di sekolah dengan menggunakan pendekatan mesra murid,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berpendapat, program seperti ini mampu merangsang minat murid untuk hadir ke sekolah, selain disusuli pelbagai program menarik.

Katanya, guru juga seronok melihat murid berasa mereka dihargai dan pemberian kek comel itu membuktikan perasaan semua murid terlibat.

“Kita nak galak murid datang ke sekolah, sebab itu pelbagai program dianjurkan,” katanya.