KUANTAN - Walaupun memiliki kekurangan, namun tiada yang menyangka murid Tahun Lima Program Pendidikan khas Integrasi (PPKI) dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Talam, di sini  mampu mengharumkan nama sekolah itu.

Ahmed Fadly Mohammad Farid, 11, berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan azan Subuh di Majlis Tilawah Al-Quran Pendidikan Khas peringkat daerah Kuantan yang diadakan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan, baru-baru ini.

Guru agama yang melatihnya, Zulhafizi Ismail berkata, Ahmed Fadly dianugerahkan kebolehan bakat sedemikian oleh ALLAH, meskipun dia mempunyai kekurangan.

“Walaupun dia ada kekurangan dari satu sudut, tetapi dari sudut yang lain ALLAH bagi dia kelebihan.

“Saya lihat dia menunjukkan minat dalam bacaan al-Quran dan zikir jika dipasang di televisyen dan komputer,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain Zulhafizi, Ahmed Fadley turut mendapat tunjuk ajar daripada  Siti Nur Jamaliah Yasin serta guru pendidikan khas yang lain.

Dalam pada itu, Zulhafizi berkata, sokongan dan kata-kata semangat daripada semua pihak termasuk pentadbir sekolah dengan memberi perangsang kepadanya.

Jelasnya, bagi memastikan bacaannya berada dalam keadaan baik, latihan secara berterusan.

“Pihak sekolah bertuah kerana mendapat kerjasama daripada ibu bapanya yang sering melatihnya mengalunkan azan dan bacaan al-Quran di rumah,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar sekolah terbabit, Normah Seliman menyuarakan rasa bangga dengan kejayaan terbabit.

“Saya ucapkan tahniah kepada Ahmed Fadly dan semoga terus maju jaya,” katanya.