PEKAN - Masyarakat perlu merebut peluang dengan membuka atau menambah simpanan dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) Plus sebagai pilihan penabungan pendidikan terbaik.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, skim tersebut merupakan skim simpanan terbaik di bawah PTPTN Tabung Pendidikan yang boleh menjamin kesinambungan pendidikan

“Seramai 3,163 murid tahun satu dari golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) membabitkan 55 sekolah sekitar Parlimen Pekan bertuah menerima sumbangan deposit akaun SSPN-i dengan jumlah keseluruhannya sebanyak RM316,300.

“Setiap murid menerima RM150 iaitu RM100 daripada PTPTN dan RM50 tambahan diberikan kerajaan juga melalui PTPTN sebagai insentif khas Geran Sepadan.

“Dengan sumbangan ini dapat menjadi pemangkin, khususnya ibu bapa untuk mula dan meneruskan penabungan secara konsisten sekali gus motivasi kepada pelajar untuk meneruskan pengajian hingga ke peringkat lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Najib (tengah) bersama murid yang menerima sumbangan pembukaan akaun SSPN-i ketika Program Umno Bantu Rakyat di Kampung Tanjung Medang, semalam.

Sumbangan tersebut disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Program Mesra Perdana Menteri dan Jom Simpan Bersama PTPTN di pekarangan Masjid Kampung Tanjung Medang di sini, semalam.

Shamsul Anuar berkata, sebanyak RM25 juta disediakan bermula 1 Januari lalu, untuk diberikan percuma kepada mereka yang layak.

“Terdahulu, pembentangan Bajet 2017 lalu telah mengumumkan pemberian insentif khas Geran Sepadan bagi simpanan terkumpul sehingga RM50 dalam akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus kepada murid tahun satu sekolah bantuan penuh kerajaan.

“Jadi bermula tahun ini, ibu bapa atau penjaga yang membuat simpanan untuk anak-anak layak menerima keistimewaan itu,” katanya.

Sementara itu, katanya, bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat menyimpan, PTPTN turut menyediakan cabutan bertuah kepada pendeposit yang membuka atau menambah dalam akaun SSPN-i Plus melalui Cabutan Wow! 20 Tahun PTPTN. 

“Lebih 2,500 hadiah bernilai RM500,000 disediakan untuk pendeposit. Cabutan Wow! 20 Tahun PTPTN merangkumi cabutan bulanan dan cabutan istimewa yang diadakan sebagai penghargaan dan kepada masyarakat negara ini.

“Hadiah cabutan bulanan akan bakal tamat 31 Disember depan manakala, ibu bapa yang mempunyai anak tahun satu dan membuka akaun atau membuat tambahan simpanan sama ada akaun SSPNi atau SSPN-i Plus sebanyak RM50 sekali lagi berpeluang memenangi hadiah sebanyak RM10,000 pada setiap bulan yang tamat Disember depan,” katanya.

Orang ramai juga boleh membuka akaun SSPN-i Plus pada bila-bila masa dengan mudah hanya di hujung jari secara dalam talian melalui www.lovesspn.com