JERANTUT - Murid Sekolah Agama Rakyat (SAR) Felda Jengka 24 cemerlang Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) diraikan dalam satu majlis di sekolah itu, baru-baru ini.

Murid itu, Muhammad Sayyidul Irman Mohd Sufian, 12, memperoleh keputusan 8A dalam UPKK tahun lalu.

Selain Muhammad Sayyidul Irman, empat lagi rakannya turut memperoleh keputusan cemerlang ujian yang sama.

Kelima-lima mereka diraikan bersempena majlis ramah mesra bersama ibu bapa murid berkenaan bersama Pegawai Agama Islam Daerah Jerantut, Syarifuddin Mohamad Sa’ad.

Majlis turut dihadiri Pengurus Felda Jengka 24, Mohd Tamrin Zakaria dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SAR Felda Jengka 24, Razak Daud.

Razak berkata, beliau berharap agar kecemerlangan itu akan menjadi contoh buat murid-murid lain yang bakal menduduki UPKK tahun ini.

“Ujian ini juga penting dalam membentuk rasa cinta murid terhadap ilmu agama dan syiar Islam,” katanya.

Majlis dihadiri sekitar 140 tetamu itu turut meraikan guru-guru SAR yang telah bersara.