KUALA ROMPIN - Program pihak luar bersama pelatih orang kelainan upaya (OKU) perlu kerap diadakan bagi memberikan suasana baharu atau berbeza kepada mereka.

Demikian kata Penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Anggerik, Martini Ismail, yang menyambut baik program anjuran pelajar tahun akhir kursus pengurusan perniagaan Kolej Vokasional Sultan Ahmad Shah (KVSAS), di sini.

Menurutnya, suasana biasa pelatih hanya melibatkan ibu bapa, keluarga atau tenaga pengajar namun melalui program itu ia memberi ruang sosial baharu kepada mereka.

“Program ini perlu dilaksanakan lebih kerap lagi pada masa akan datang untuk memberi suasana baharu kepada pelatih OKU di sini.

“Saya percaya program sebegini mampu memberi impak positif kepada pelatih dan pandangan atau penerimaan masyarakat terhadap mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sehari Bersama Pelatih OKU PDK Anggerik, Kuala Rompin yang dirasmikan Ketua Wanita Umno Rompin, Datin Samsiah Arshad yang turut dihadiri Pengarah KVSAS, Osman Muhamad.

Sementara itu, Samsiah turut menzahirkan harapan kepada pelajar KVSAS yang terlibat dengan program itu agar meneruskan usaha-usaha murni sedemikian.

“Teruskan usaha ini, kamu adalah harapan untuk masa hadapan. Pergilah serata tempat, dekatilah masyarakat supaya kamu tahu di manakah kedudukan kamu dan kamu akan bersyukur apabila pergi ke tempat ini,” katanya.

Program berbentuk sukaneka itu bermula pagi dan berakhir pada tengah hari melibatkan kira-kira 20 pelatih bersama ibu bapa mereka.