KUANTAN - Pasukan Taekwon-Do MITF Pahang merangkul 15 pingat emas, 12 perak dan 17 gangsa  sekali gus berada di tempat ketiga keseluruhan pada International Taekwon-Do Asian School & Club Championship 2018 (MITF) yang berlangsung di Tan Sri Hamzah Arena, Olympic of Council Malaysia, Kuala Lumpur 27 hingga 29 Mac lalu.

Kontinjen Pahang yang disertai 71 peserta diketuai Master Ng Boon  Tuck (7th and degree Blackbelt). Pengurus Pasukan, Mohammed Amin Yahya berkata, Kontinjen MITF Pahang menghantar 71 orang peserta yang terlibat dalam kategori Pattern & Sparring terdiri pelajar sekolah rendah, menengah dan Institusi Pengajian Tinggi  (IPT) seluruh Negeri Pahang.

Menurutnya, lebih membanggakan, seorang peserta, Khairul Danish Alif Khairul Azma, 14, pelajar  Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART)  dinobatkan peserta terbaik dan melayakkan diri untuk mendapat Quadrathon Belt.

“Khairul Danish Alif memperoleh dua pingat emas dalam acara Traditional Sparring & Individu Pattern,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian pasukan itu amat membanggakan hasil kesungguhan peserta dan komitmen semua jurulatih. 

“Berdasarkan prestasi semasa pemain, kita yakin pasukan ini mampu pergi lebih jauh,” katanya.

Master Ng Bong Tuck bersama sebahagian peserta yang mengambil bahagian.

Ceria bersama piala dimenangi.