Pelajar tahfiz berpeluang menyambung pengajian pada peringkat diploma di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di sembilan kampus miliknya di seluruh negara.

Tawaran itu juga membolehkan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan mencapai cita-cita mereka untuk bergelar huffaz berpendidikan tinggi.

Pengerusinya,  Datuk Ahmad Nazlan Idris bagaimanapun berkata, mereka perlu mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekurang-kurangnya tiga kredit.

“Ada segelintir pelajar yang tamat pengajian di peringkat SPM kemudian menyambung pelajaran di pusat tahfiz kerajaan serta swasta dan berminat untuk menyambung pelajaran semula di institusi pengajian tinggi, jadi kita buka peluang ini kepada mereka.

“Buat permulaan mungkin kita pilih sepuluh pelajar pertama untuk mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang yang sesuai dengan pelajar tahfiz berkenaan,” katanya.

Beliau sebelum itu hadir ke Majlis Anugerah Kecemerlangan  8A Ujian Penilaian Kelas Kafa peringkat daerah di Dewan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Pahang, Abu Bakar Mohd Saad dan Pegawai Agama Islam Daerah Jerantut, Syarifuddin Mohamad Saad.

Pada majlis sama, Ahmad Nazlan menyampaikan anugerah kepada lebih 500 murid yang mendapat 8A dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2016 dan 2017 serta enam guru cemerlang termasuk seorang dinobatkan sebagai tokoh guru.

Ahmad Nazlan memberitahu, pemilihan sepuluh individu itu bertujuan menilai prestasi mereka terlebih dahulu sebelum membuat pengambilan lebih ramai pada masa akan datang.  

Menurutnya, KPTM sedang mencari langkah sesuai untuk membantu sepuluh pelajar terbabit mengenai pembiayaan kos pengajian sebelum sebelum mereka dipilih mendaftar di kolej berkenaan.

“Kita mungkin akan gunakan kaedah biasiswa dan wakaf bagi membantu mereka yang layak menyambung pengajian di KPTM bagi mengurangkan bebanan keluarga mereka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, KPTM juga akan mencari penaja bagi menampung yuran pengajian pelajar terbabit.

“Kita memberi peluang kepada pelajar tahfiz mengikuti pelbagai kursus diploma bagi meningkatkan kemahiran mereka menguasai dua bidang iaitu akademik dan menghafal al-quran.

“ Usaha ini juga selaras dengan dasar KPTM untuk melahirkan lebih ramai mahasiswa khususnya kawasan luar bandar melalui kempen satu rumah satu mahasiswa,” katanya.