KUANTAN - Peranti dinamakan Smart Portable Energy Device (Speed) berjaya menobatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist di sini, sebagai juara dan merangkul hadiah utama kategori sekolah rendah di Festival Antarabangsa Inovasi Dalam Teknologi Hijau 2018 (i-FINOG 2018), Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Ketua pasukan, Qarira Aina Azhari, 12 berkata, hanya berbekalkan modal RM50, dia bersama dua lagi rakannya, Yasmin Batrisyia Zaidi, 12, dan Aisyah Humyra Johan, 12, berjaya menghasilkan satu peranti yang boleh mengeluarkan tenaga elektrik dengan bantuan arus air.

Jelasnya, peranti hasil penyelidikan mereka itu juga mampu menghasilkan tenaga elektrik sehingga lima volt.

“Kami cipta peranti ini hanya dalam tempoh seminggu sahaja dan berkongsi duit untuk membeli komponen seperti turbin, wayar, motor DC dan beberapa komponen elektronik yang lain.

“Cara peranti ini berfungsi adalah dengan bantuan arus air yang akan memutarkan turbin sekali gus akan membantu memusing motor DC, sebelum tenaga elektrik dihasilkan.

“Peranti dihasilkan ini mampu mengecas telefon bimbit dan beberapa alat elektrik yang lain serta mudah di bawa ke mana-mana,” katanya di majlis penutup i-FINOG, di UMP, di sini, semalam.

Majlis penutup festival berkenaan disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Ibrahim Ahmad.

Hadir sama, Naib Canselor UMP, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim.

Dalam pada itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Jaya, Selangor merangkul hadiah utama bagi kategori sekolah menengah dengan menghasilkan alat pengesan kebocoran paip air.

Manakala bagi kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) pula, wakil UMP berjaya memenangi hadiah utama dengan penyelidikan dalam menghasilkan mesin untuk rawatan air.

Sementara itu, Daing Nasir berkata, program tersebut merupakan landasan mencungkil bakat pelajar dalam bidang penyelidikan dan inovasi serta mempertingkatkan kesedaran pemeliharaan alam sekitar untuk generasi akan datang melalui penghasilan produk teknologi hijau.

“Program ini disertai seramai 604 peserta daripada pelbagai peringkat termasuk sekolah rendah, sekolah menengah, IPT, ahli akademik dan antarabangsa.

“Penganjurannya juga dapat mencungkil bakat pelajar dalam bidang penyelidikan dan inovasi seterusnya melahirkan pelajar kreatif serta inovatif,” katanya.