BANDAR JENGKA - Tidak perlu jauh, sebaliknya balai bomba dan Stadium Tun Abdul Razak Jengka (Star) dijadikan lokasi lawatan bertujuan memberi pendedahan kepada kanak kanak Tabika Kemas Felda Jengka 11, di sini.

Pengerusinya, Feezna Elia Abd Rahman berkata, lawatan Star dapat mendidik mereka melihat pembangunan Bandar Pusat Jengka sementara program ke balai bomba memperkenalkan mereka secara dekat dengan kerjaya unit beruniform tersebut.

“Apa yang kita lakukan untuk anak-anak tabika ialah mendidik mereka menghargai pembangunan serta jasa dan kerjaya anggota keselamatan.

“Walaupun tak pergi jauh mereka tetap seronok dan teruja dengan lawatan ini. Apatah lagi ke lokasi yang mereka tidak boleh pergi sembarangan atau secara sendirian seperti balai bomba dan stadium,” katanya.

Sejumlah 60 peserta membabitkan kanak-kanak, ibu bapa dan guru menyertai lawatan tersebut baru-baru ini.

Anggota keselamatan di Balai Bomba Jengka turut meraikan kedatangan peserta lawatan dengan melakukan demonstrasi memadam kebakaran.

Pengurusan stadium dan Felda United membenarkan peserta lawatan berada di padang bagi mengetahui sendiri suasana perlawanan bola sepak dengan lebih dekat.