KUANTAN - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Lembing optimis dapat melahirkan atlet berbakat dalam bidang olahraga.

Atlet berkenaan juga boleh diasuh bukan sahaja mewakili sekolah tetapi di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Pengetuanya, Hirudin Mohit berkata, bakat pelajar dapat dicungkil melalui temasya sukan tahunan sekolah dan boleh diketengahkan bagi mewakili sekolah ke pertandingan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

“Temasya ini menjad i medan untuk melahirkan bakat baru  dalam bidang sukan sekali gus memilih mereka mewakili sekolah dalam pertandingan Majlis Sukan Sekolah Daerah Kuantan.

“Selain itu, temasya  sukan tersebut juga dapat meningkatkan martabat sukan peringkat sekolah, di samping melatih pelajar supaya mempunyai disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi,” katanya.

Menurutnya, pihak sekolah menggalakkan semua pelajar supaya bersukan dan bersedia mengasah mereka yang berbakat.

Menyentuh mengenai temasya sukan  terbabit, Hirudin memaklumkan program berkenaan adalah acara tahunan yang dirancang setiap tahun.

Katanya,  penganjuran sukan tahunan itu adalah  kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sungai Lembing bertujuan memberi peluang kepada  pelajar untuk mengembangkan bakat dan  kebolehan, bersesuaian dengan konsep Kementerian Pendidikan Malaysia yang memperkenalkan dasar 1 Murid 1 Sukan.