SHAH ALAM - Sebanyak empat kes pecah masuk pejabat termasuk kecurian direkodkan di empat buah sekolah di daerah ini yang berlaku antara 4 Jun sehingga 12 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Nek Zaidi Zakaria ketika dihubungi Sinar Harian semalam mengesahkan perkara tersebut.

Menurutnya, keempat-empat kes tersebut berlaku di dua buah sekolah kebangsaan (SK) dan dua sekolah menengah kebangsaan (SMK) di daerah ini.

Katanya, dalam kejadian pertama berlaku pada 4 Jun di SMK Seksyen 16, di mana siasatan mendapati terdapat kesan umpil pada pintu pejabat sekolah berkenaan.

Namun katanya, siasatan dijalankan ke atas kamera litar tertutup (CCTV) tidak memaparkan suspek.

“Kes kedua dan ketiga berlaku pada 11 Jun di SK Raja Muda Seksyen 4 dan SMK Seksyen 11.

“Dalam kes di SK Raja Muda Seksyen 4, pintu pejabat sekolah diumpil dan wang tunai berjumlah RM280 turut dilarikan, manakala di SMK Seksyen 11 tiada sebarang kehilangan dilaporkan dan siasatan menemui kesan umpil pada tingkap,” katanya.

Menurutnya, kejadian terakhir berlaku semalam di SK Seksyen 6 dan setakat ini, siasatan mendapati terdapat kesan umpil pada jeriji tingkap bilik guru, namun kerugian masih belum dapat dipastikan.

Katanya, siasatan menerusi CCTV di tiga sekolah berkenaan tidak menemui sebarang petunjuk dan tiada tangkapan dilakukan untuk keempat-empat kes  itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati hanya SMK Seksyen 16 dan SK Seksyen 6 mempunyai pengawal keselamatan, manakala dua lagi sekolah tiada.

“Kita tidak menolak kemungkinan semua kejadian dilakukan individu atau kumpulan sama. Siasatan lanjut bagi mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

www.gpsbestari.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.