Seorang pelajar cemerlang SPM Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Baling semalam meraikan kejayaan memperoleh keputusan 10A tanpa ibu bapa kesayangan di sisi.

Siti Hawa Abd Rahim, 17, dari Sungai Petani hanya hadir bersama ibu dan bapa saudaranya selepas ibu bapa angkatnya itu meninggal dunia tahun lalu.

“Ibu (Zabidah Zainal Abidin) meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang Ramadan lalu, bapa (Shuhaimi Ahmad) pula maut akibat kemalangan jalan raya Ogos tahun sama.

“Saya tinggal dengan ibu bapa angkat tu sejak lahir, tak pernah tengok ibu dan ayah kandung,” katanya kepada Sinar Harian di SMKA Baling, semalam.

Menurutnya, berita kematian ayahnya diterima ketika dia baru sahaja ingin menjawab soalan percubaan SPM.

“Waktu tu subjek Sejarah, baru nak jawab kertas soalan tiba-tiba cikgu panggil keluar dan maklumkan ayah meninggal.

“Saya tak jawab exam hari tu, cikgu terus bawa balik rumah,” katanya yang turut mendapat 10A dalam percubaan SPM.

Anak sulung daripada dua beradik ini mengakui emosinya sedikit terganggu ketika saat-saat akhir menghadapi SPM.

“Selalu juga teringat dengan mak ayah, waktu nak ulang kaji, tapi alhamdulillah semua tu dapat dihadapi dengan tenang.

“Cara saya belajar, waktu petang saya akan siapkan latihan sekolah, malam pula ulang kaji subjek diambil. Untuk subjek Matematik Tambahan dan Matematik saya akan banyakkan latihan,” katanya.

Namun katanya, semua itu tidak akan dapat dilalui tanpa sokongan padu guru.

Siti Hawa dalam masa sama mengakui mahu bertemu ibu kandungnya.

“Jika ada peluang, saya mahu berjumpa dengan mak. Saya dapat tahu waktu di bangku sekolah rendah yang dia masih hidup,” katanya.

Menurutnya, hasratnya selepas ini mahu menyambung pelajaran di Universiti Malaya (UM) atau Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dalam bidang perubatan.

Sementara itu, Guru Kaunseling SMKA Baling, Noor Azimah Muhammad Noor berkata, Hawa dipelihara ibu bapa angkat yang bukan daripada golongan senang.

“Ini adalah satu kejayaan besar untuk dia, seorang anak yatim piatu dapat 10A dalam keadaan diuji sebegitu,” katanya.